[VIDEO] Lebih sanggup tolak tawaran kelab elit Liga Super, permata Liga A2 pilih kerja tetap di Utara


  • Podium
  • Ahad, 08 Dis 2024

GSA FC dinobatkan sebagai juara Liga A2 Piala Al Ikhsan 2024 apabila menang 4-2 menerusi penentuan penalti pada Jumaat. — Facebook/AFL

SELEPAS perlawanan diheret selama tiga jam antara Kelantan WTS FC dan Guar Syed Alwi (GSA) FC, akhirnya pasukan dari Perlis itu dinobatkan sebagai juara Liga A2 Piala Al Ikhsan 2024 apabila menang 4-2 menerusi penentuan penalti pada Jumaat.

Perlawanan diadakan di Stadium UiTM Shah Alam, Shah Alam di Selangor itu menyaksikan Red Fighter turun dengan beberapa nama pemain yang pernah menghiasi Liga Super seperti Nazrin Nawi dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Manakala, GSA FC pula mempertaruhkan pemain yang terdiri anak jati dan kawasan kampung berhampiran di Kangar, Perlis dengan rata-rata mereka dalam lingkungan 20 hingga 38 tahun.

BACA LAGI: Miliki infrastruktur, padang bola sepak terbaik di negara, Johor anjur bola sepak Sukan SEA 2027

BACA LAGI: Zii Jia berdepan laluan sukar dalam Pusingan Akhir Jelajah Dunia, diundi bersama Antonsen dan Shifeng

Sebelum perlawanan memaksa ke penentuan penalti, WTS terlebih dahulu mendapatkan jaringan awal menerusi Fakhrul Zaman pada minit ke-18 dan gol penyamaan diperolehi GSA daripada ledakan Faizal Kadir.

Bersambung babak kedua, gol sendiri pemain pertahanan GSA iaitu Arif Nadzman meletakkan Red Fighter kembali dihadapan sebelum sepakan cantik babak akhir dari Muhaimin Shahab menyelamatkan air muka skuad kendalian Mohd Firdaus Abdul Rahman.

Kejayaan GSA membawa pulang RM50,000 dan merangkul gelaran kejuaraan Liga A2 Al Ikhsan Cup 2024 itu juga secara tidak langsung memberi ruang untuk para 'ubi muda' mereka menjual potensi masing-masing.

Antara pemain muda GSA FC menyinar dalam aksi final itu ialah Muhammad Hazwan Hassan, yang memainkan peranan menghidupkan bahagian tengah skuad berpangkalan di Utara tanah air berkenaan.

WhatsApp Image 2024-12-07 at 17.21.17 (1)

Hazwan ketika beraksi bersama Penang B-23 pada musim lepas. — Instagram/Hazwan

Pemain yang pernah beraksi untuk Penang FC Bawah 23 tahun (B-23) pada musim lepas itu akui bahawa menentang WTS bukan aksi mudah lagi-lagi hakikat mereka pernah tewas dua kali bertemu Red Fighter.

"Kami jumpa mereka pun dua kali dan dua kali kami kalah dengan mereka, ini satu kemenangan yang sangat bermakna untuk pasukan. Pengalaman menentang mereka sebelum ini memang membantu.

"Pengalaman memang membantu sebab kita lawan pasukan yang berpengalaman kan. Tapi semua itu bukan alasan kita (GSA) sebab dalam padang kita kena lawan mereka betul-betul dan kami buktikan," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai peluangnya untuk beraksi bersama pasukan lebih besar misalnya kelab Liga Super usai menyinar dalam saingan Liga A2 musim ini, pemain berusia 22 tahun itu memilih untuk kekal beraksi negeri kelahirannya.

WhatsApp Image 2024-12-07 at 17.21.17

Hazwan dinobatkan sebagai MVP Liga Super Perlis 2024. — Instagram/Hazwan

Menurut 'ubi muda' yang pernah beraksi dengan Skuad Projek FAM-MSN itu, kerja hakikinya bersama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) lebih penting daripada beraksi sebagai pemain profesional bersama kelab Liga Super.

"Kalau bab bermain bersama pasukan lain, saya rasa tidak lah ke sebab saya pun kerja di Perlis jadi susah nak main pasukan luar. Tidak ada tawaran dari kelab lain juga setakat ini, kalau ada dapat tawaran pun memang tidak pergi sebab ada kerja hakiki.

"Bola ini saya rasa memang main untuk seronok-seronok sahaja. Saya dah main bola dari kecil, susah nak berhenti. Tapi memang tidak mahu beraksi secara professional walaupun ada jika mendapat tawaran nanti.

"Untuk tahun depan, tengok macam mana kalau masih main untuk GSA atau bermain bersama Bintong FC (Liga Super Perlis)," kata Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super Perlis 2024 itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram