MUSIM ini, Kedah Darul Aman FC berdepan pelbagai kesukaran terutamanya melibatkan isu kewangan hinggakan masalah tunggakan gaji masih belum selesai.
Ia jelas memberikan kesan kepada prestasi Kedah dengan mereka menduduki tempat ke-10 dalam Liga Super dengan mengutip 13 mata.
Walaupun tidak beraksi baik, tetapi masih terdapat beberapa pemain yang meraih perhatian apabila nilai pasaran mereka meningkat sedangkan Kedah mengalami musim suram.
BACA LAGI: Sebak lihat Sony, Nafuzi tinggalkan Kedah, Milos Gordic luah kebimbangan bersama Sang Kenari
Ifwat Akmal
Di saat posisi penjaga gol hilang beberapa nama seperti pemergian Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz, Ifwat Akmal terus utuh bersama Kedah walaupun pada masa sukar.
Penjaga gol itu sering menjadi pilihan kedua terutamanya ketika keberadaan Kalamullah bersama Kedah. Tetapi sejak pemergian pemain itu ke Selangor FC, Ifwat sering diturunkan.
Ifwat kembali menjadi sandaran Kedah di pintu gol.
Ifwat melakukan lima penampilan Liga Super serta diturunkan oleh pengendali sementara iaitu Victor Andrag sewaktu kekalahan mereka terhadap Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala Malaysia.
Aksi daripada Ifwat membuatkan nilai pasarannya meningkat daripada €125,000 (RM587,000) kepada €150,000 (RM704,000).
Milos Gordic
Nama yang sering popular dalam kalangan penyokong Kedah kerana sebab-sebab yang salah tetapi ia tidak menghalang nilai pasaran Milos Gordic daripada meningkat.
Penyerang berusia 31 tahun itu mengalami kesukaran untuk memberikan impak yang diharapkan oleh penyokong dan sering menjadi sasaran kritikan hampir setiap perlawanan.
Gordic menjadi pemain 'kegemaran' penyokong Kedah.
Namun begitu, Gordic terus memberikan komitmennya bersama Kedah dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang mengeruhkan lagi hubungannya dengan penyokong.
Sama seperti Ifwat, nilai pasaran Gordic meningkat daripada €125,000 (RM587,000) kepada €150,000 (RM704,000).
Halim Saari
Satu lagi pemain yang menerima peningkatan nilai pasaran adalah pemain tengah iaitu Halim Saari.
Pengalaman Halim sebagai pemain tengah membantu Kedah untuk tidak mudah dikuasai di bahagian tersebut. Kualitinya membuatkan barisan tengah Kedah sentiasa kompetitif.
Nilai Halim juga mengalami peningkatan.
Halim melakukan lapan penampilan Liga Super dengan dia turut menghasilkan satu gol buat Sang Kenari pada musim ini.
Berbanding Ifwat dan Gordic, peningkatan nilai pasaran Halim lebih sedikit dengan dia mencatatkan kenaikan daripada €75,000 (RM352,000) kepada €100,000 (RM470,000). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram