Kaki berbalut ais lepas benam Everton, bintang Man United terlepas aksi berdepan Arsenal?


  • Podium
  • Isnin, 02 Dis 2024

Skuad The Red Devils akan berkunjung ke Arsenal pada Khamis untuk aksi EPL ke-14 musim ini. — Agensi

KEMENANGAN pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berjaya direkodkan Ruben Amorim bersama Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka membenam Everton dengan keputusan 4-0 di laman sendiri pada Ahad.

Marcus Rashford dan Joshua Zirkzee yang masing-masing merekodkan dua gol membolehkan pasukan itu meraih tiga mata penuh yang membuktikan sentuhan pengendali baharu tersebut sudah mula membuahkan hasil.

Namun, di sebalik sinaran dibuktikan dua penyerang tersebut, pujian juga perlu diberikan kepada kapten pasukan, Bruno Fernandes yang mencetak dua bantuan jaringan.

BACA LAGI: Bruno jadi hero, selamatkan penumpang pitam dalam penerbangan

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat fans MU, Maddison pun cakap Fernandes tak patut dibuang padang

WhatsApp Image 2024-12-02 at 11.39.56 PM (1)

Bruno kelihatan meletakkan bungkusan ais di kaki kirinya.

Kedua-dua sumbangan terbabit menunjukkan bintang antarabangsa Portugal itu sudah menemui semula sentuhannya di atas padang selepas sebelum ini kerap dikritik disebabkan persembahan kurang meyakinkan.

Bagaimanapun, di sebalik keriangan itu, kegusaran melanda penyokong The Red Devils apabila pemain berusia 30 tahun tersebut tidak dapat menghabiskan aksi 90 minit di Stadium Old Trafford, Manchester.

Ini selepas dia dikeluarkan pada minit ke-66 dan digantikan Manuel Ugarte dengan Bruno kelihatan berada dalam keadaan kurang selesa untuk menamatkan perlawanan di laman sendiri.

Tidak cukup dengan itu, sebahagian peminat mendapati pemain tengah tersebut berada di bangku simpanan dengan bungkusan ais diletakkan di buku lali kirinya, namun sukar dipastikan punca di sebaliknya.

0_Bruno-Fernandes-5

Bruno membuktikan kecemerlangannya ketika menerima kunjungan Everton di laman sendiri. — Agensi

Sekiranya dia mengalami kecederaan, terdapat kemungkinan khidmatnya tidak akan dapat ditagih menjelang aksi getir EPL menentang Arsenal pada Khamis dalam pertembungan di tempat lawan.

Skuad The Gunners berada dalam prestasi cemerlang musim ini apabila mereka berada di kedudukan kedua liga selepas 13 perlawanan dengan hanya 14 gol dibolosi setakat ini.

Ketiadaan Bruno dengan kebolehan untuk membuat hantaran berkualiti pasti akan dirasai untuk merobohkan tembok pihak lawan yang sememangnya mahir dalam mematahkan serangan demi serangan.

Tetapi, setakat ini, masih tidak dapat dipastikan keadaan semasa bekas pemain Sporting CP tersebut dengan harapan kecederaan dialaminya tidak begitu serius seperti mana diuar-uarkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram