Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
PADA penghujung perlawanan yang menyaksikan PDRM FC mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Selayang, 31 Julai lalu, ketua jurulatihnya, P. Maniam, membuat kejutan apabila mengada-adakan alasan buat juara liga 10 musim berturut-turut itu.
Ramai yang pelik kerana jurulatih berusia 56 tahun itu lebih menekankan kepada faktor keletihan di pihak pelawat hingga mengakibatkan rentetan enam kemenangan berturut-turut Harimau Selatan itu terhenti berbanding bercakap mengenai kejaguhan pasukannya sendiri.
BACA LAGI: Nasib malang KDA FC tak berpenghujung jadi ingatan buat semua pasukan
BACA LAGI: Tunggu dan lihat’, Kim Swee masih berteka-teki namun spekulasi kembali ke FAM semakin nyata
“Kita boleh melihat pemain JDT seperti keletihan, ini pandangan saya sebagai jurulatih, dan mereka tidak boleh memberikan aksi yang maksimum kerana mereka telah bermain banyak perlawanan,” katanya ketika itu.
Shahrel Fikri Md Fauzi meletakkan The Cops di hadapan dengan rembatan tinggi yang menewaskan Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-22 sebelum lawan bangkit dengan jaringan Oscar Arribas berselang 11 minit untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Berbanding pasukan-pasukan lain, PDRM FC adalah yang pertama menafikan JDT mata penuh selepas tujuh perlawanan dan kekal satu-satunya pasukan yang mampu berbuat demikian selepas 14 perlawanan liga kini.
Diingatkan semula mengenai komennya selepas perlawanan itu, Maniam sekadar ketawa kecil. Tapi seperti beria-ia dijelaskannya, tiada terniat di hatinya untuk ‘menganjing’ lawan melainkan ia rakaman rasa hormatnya terhadap barisan serba penakluk lawan.
Tapi pada masa yang sama ia menguatkan keyakinannya bahawa The Cops yang dikendalikannya musim ini mampu membuat kejutan di sebalik carta liga ketika ini seperti tidak berlaku adil kepada mereka.
The Cops berhasil mengikat JDT seri 1-1 pada Julai lepas. — Facebook/PDRMFC
Selepas 14 perlawanan liga, PDRM FC mengisi tangga keenam dengan 18 mata – lebih baik daripada kesudahan di tangga kelapan musim lalu – yang sedikit dicemari oleh enam keputusan seri selain empat kemenangan dan empat kekalahan.
Memiliki gandingan mantap di barisan serangan dengan trio Bruno Suzuki, Ifedayo Olusegun dan Shahrel Fikri – ditambah kemasukan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang dipinjam dari Perak FC pada jendela perpindahan kedua September lalu – Maniam mengharapkan peningkatan dalam pusingan kedua liga ini.
Tapi, seperti komennya selepas pertemuan PDRM FC-JDT empat bulan lalu, Maniam – bekas ketua jurulatih Petaling Jaya Rangers, Selangor FC, Malaysia B-16, PJ City FC dan Harini FC – kekal memilih low-profile dan membiarkan keputusan diraih pasukannya untuk bercakap bagi pihaknya.
Kerana itu, dia jarang sekali dilihat ditemu bual atau membuat kenyataan media selepas perlawanan di sebalik The Cops turut mengejutkan dengan kemenangan 3-2 ke atas Perak FC, 2-1 ke atas Kuala Lumpur City FC dan 1-0 ke atas Sabah FC di samping seri dengan Terengganu FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC – semuanya dengan keputusan 1-1 sepanjang bulan Oktober.
Hadi Fayyadh menyertai semula PDRM pada jendela perpindahan Ogos lepas. — Facebook/PDRMFC
“Orang (wartawan) pun tak cari saya,” ujarnya sambil menambah tawaran daripada PDRM FC turut diterimanya sebagai kejutan pada awal musim ini selepas rundingannya dengan Penang FC terhenti setelah The Black Panthers memilih Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih.
Bezanya, Maniam masih kekal mengemudi The Cops pada ketika Akmal Rizal sudah pun direhatkan bermula 1 November lalu gara-gara prestasi dalam liga yang kurang memuaskan.
Kini, PDRM FC berada di ambang gerbang suku akhir Piala Malaysia dengan membawa kelebihan agregat 2-1 ke atas Negeri Sembilan hasil jaringan Hadi Fayyadh dan Ifedayo di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 24 November.
Kedua-dua pasukan akan melakukan perhitungan dalam aksi timbal balik di Stadium Selayang pada Jumaat – hari yang diharap-harapkan Maniam akan memberinya kegembiraan berganda sebagai seorang jurulatih dan seorang ayah.
Cuma Maniam hanya dapat menitipkan semangat kepada pemain-pemainnya disebabkan tidak dapat bersama mereka di bilik persalinan dan di tepi padang esok kerana ia bertembung dengan majlis perkahwinan anak perempuannya, Loshnna, di Ampang, Selangor.
Maniam (kiri) mula mengendalikan PDRM pada awal musim ini. — Facebook/PDRMFC
“Saya tahu saya diperlukan di sana (bersama pemain di Stadium Selayang) tapi untuk perkahwinan anak pertama, saya terpaksa mendahulukan kepentingan keluarga buat kali ini,” kongsinya dengan Bola Pegun.
Dalam pada itu, dia berasa sedap hati meninggalkan pasukan buat seketika atas kesedaran mereka tidak memerlukan motivasi tambahan dengan catatan sejarah layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas sekian lama cukup menjadi pemangkin.
“Sepanjang beberapa hari ini, saya berulang kali ingatkan pemain-pemain bahawa kita belum lagi layak ke suku akhir Piala Malaysia dan kita perlu mengesahkannya dalam perlawanan kedua ini. Paling penting ialah kita tidak boleh bolos gol.
“Negeri Sembilan tidak punya apa-apa untuk kerugian. Ketinggalan satu gol, mereka boleh dijangka akan bermati-matian untuk terbalikkan kedudukan dan kita harus bersedia dengan apa saja kemungkinan daripada mereka. 15 minit pertama akan jadi sangat penting untuk kita tentukan permainan,” katanya.
Antara momen perlawanan PDRM menentang NSFC. — Facebook/PDRMFC
Di sebalik akan sibuk menyantuni tetamu di majlis perkahwinan anak perempuannya dari pukul 5.30 petang hingga 9 malam esok, Maniam tetap akan mengikuti rapat perkembangan perlawanan dan tidak akan terlepas pandang pesanan yang masuk ke telefon bimbitnya.
“Ia akan jadi satu pencapaian bermakna untuk kami layak,” kata jurulatih itu yang tidak berhenti-henti mengulangi dwi-kegembiraan yang diharap-harapkannya.
Selesai majlis perkahwinan anak perempuannya, Maniam masih sempat untuk bersama pemain-pemainnya dalam aksi separuh masa kedua. Usah terkejut jika kelibatnya dilihat di sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram