Kalah tipis di peringkat kumpulan, Tommy akui pemain TFC berhak raih pujian


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Sony Norde (kanan) mencetak jaringan gol pertama buat Terengganu dalam aksi menentang Bali United. — Facebook/TFC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner memuji persembahan dipamerkan anak buahnya dalam enam perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Konfederasi Asia (AFC).

Menurut Steinbruckner, walaupun tidak layak ke peringkat separuh akhir zon Asean, barisan pemainnya berhak mendapat pujian kerana mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun, pada masa sama Steinbruckner atau lebih mesra dengan sapaan Tommy tetap memohon maaf kepada peminat skuad Penyu kerana gagal membawa pasukan mara ke peringkat seterusnya.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain, mereka berhak mendapat pujian. Daripada kesemua enam perlawanan, kita menang tiga dan seri tiga. Sayangnya, kita berada di tempat kedua kumpulan.

"Saya berpuas hati dengan semua pemain. Mereka bermain dengan baik. Sekali lagi tahniah kepada mereka atas kerja keras dan semangat juang yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan terakhir Kumpulan G saingan Piala AFC menentang kelab Indonesia, Bali United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-12-14 at 12.32.53

Steinbruckner memuji persembahan para pemainnya dalam kejohanan Piala AFC. — Facebook/TFC

Pada perlawanan malam tadi, TFC menewaskan Bali United 2-0 hasil jaringan Sony Norde pada minit ke-39 dan Sardor Kulmatov, minit ke-89.

Bagaimanapun, kemenangan itu belum cukup untuk melayakkan skuad Penyu ke peringkat separuh akhir zon Asean kerana gagal memintas jaringan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC yang muncul sebagai pasukan naib juara terbaik kumpulan.

Jumaat lepas, TFC berdepan kekecewaan selepas penantian mereka selama 22 tahun untuk membawa pulang Piala Malaysia musnah apabila tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-3 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram