Sedia main demi Malaysia walau ada isu di penghujung musim — Paulo Josue


  • Podium
  • Rabu, 15 Nov 2023

Josue sedia bermain dalam apa jua peranan sama ada sebagai penyerang atau di bahagian tengah. — Facebook/FAM

SELEPAS disisihkan dari kempen kejohanan Pestabola Merdeka pada bulan lalu akibat denggi, Paulo Josue tidak akan melepaskan satu lagi peluang meningkatkan jumlah golnya untuk Harimau Malaya pada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-2027 yang akan datang bulan ini.

Pemain kelahiran Brazil dijangka menjadi antara pemain utama dalam perancangan jurulatih Kim Pan-gon untuk memperoleh mata maksimum apabila pasukan kebangsaan itu beraksi menentang Kyrgyzstan ranking No. 97 dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Arkitek berusia 34 tahun itu sudah menjaringkan empat gol dalam enam penampilan untuk Harimau Malaya sejak dia membuat penampilan sulung pasukan kebangsaan pada Mac tahun ini.

Josue yang sering diberi kepercayaan pengendali Korea Selatan itu untuk bermain di posisi penyerang itu nyata gembira menjadi aset kepada pasukan.

“Saya tidak boleh menjamin bahawa saya akan menjaringkan gol sekali lagi tetapi saya bersedia untuk mencuba yang terbaik mencapai sasaran.

“Saya bersedia bermain untuk Malaysia walaupun terdapat beberapa isu menjelang penghujung musim, yang mana saya memilih untuk tidak mengulasnya. Saya juga terkena denggi dan tidak dapat beraksi untuk kejohanan Pestabola Merdeka.

“Rakan sepasukan saya juga tidak gembira tewas kepada Tajikistan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka (0-2) bulan lalu tetapi kami perlu bangkit daripadanya.

“Jurulatih juga telah menjelaskan punca kekalahan kami. Kami bersedia untuk menghadapi cabaran baharu dan cuba memenuhi peranan kami dalam pasukan,” katanya.

WhatsApp Image 2023-11-15 at 16.39.28

Josue bersedia untuk membantu Harimau Malaya meraih tiga mata penuh perlawanan. — Facebook/FAM

Ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC itu juga tidak memandang rendah kekuatan pasukan lawan apatah lagi ranking Kyrgyzstan di tangga ke-97 dunia jauh lebih tinggi Malaysia yang ketika ini menduduki ranking ke-137.

Malaysia hanya pernah menentang Kyrgyzstan sekali pada tahun 2018 dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada negara wilayah Asia Tengah itu.

“Kami belum menerima banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan lagi tetapi kami tahu mereka adalah pasukan yang sukar dan berada di kedudukan lebih tinggi daripada kami.

“Ada beberapa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kami dapat hasil positif nanti. Semua pemain perlu serius kerana ini bukan aksi persahabatan,” kata Josue, yang bersedia untuk bermain dalam apa jua peranan sama ada sebagai penyerang atau di bahagian tengah.

Skuad kebangsaan diundi dalam Kumpulan D untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-2027 Piala Asia dengan Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan.

Selepas menentang Krgyzstan pada Khamis, Malaysia akan bertandang ke Taipei untuk menentang Taiwan pada 21 November dan menentang Oman tahun depan.

Malaysia perlu menamatkan saingan di dua teratas untuk menempah tempat ke pusingan ketiga kelayakan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram