[VIDEO] Bukan hanya taktikal, Pan-gon kongsi sebab lain pilih 26 pemain ke kelayakan Piala Dunia


  • Podium
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Pan-gon bersama barisan pemain pada hari pertama latihan di Wisma FAM, Petaling Jaya pada Jumaat. — Facebook/FAM

MENJELANG perlawanan Harimau Malaya akan menentang Republik Krgyz dan Chinese Taipei pada 16 dan 21 November ini, Kim Pan-gon memanggil 26 pemain untuk ke kem latihan pusat bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.

Senarai pemain tersebut bagaimanapun menjadi pertikaian para penyokong kerana menganggap ada di antara mereka tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam saingan liga dan hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja.

Antara nama tonggak yang dipertikai keberadaannya ialah pemain Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohamadou Sumareh susulan kini dia hanya banyak beraksi di saingan Piala MFL dan tidak mengumpul minit permainan di skuad utama.

Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun menegaskan bahawa setiap pemain dipilih itu menepati ciri-ciri yang diinginkan barisan kejurulatihan untuk dibawa dalam aksi penting seperti kelayakan Piala Dunia 2026 itu.

"Setiap kem kebangsaan, kami mahu memilih yang terbaik. Saya tahu penyokong dan media mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pemain, tetapi kami harap semua orang faham kami hanya boleh pilih 23 pemain dan dua pemain untuk setiap posisi.

"Saya harap penyokong memahaminya. Kami memilih bukan hanya sebab taktikal, tetapi kami juga melihat kepada komitmen, kesetiaan, patriotik dan sebagainya.

"Saya tahu ramai pemain bagus di luar sana. Setiap pemain boleh berada dalam senarai tetapi kami perlu membuat keputusan sukar sama ada untuk menempatkan pemain dalam senarai utama atau senarai bersedia,” katanya memetik video dimuat naik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam senarai tersebut, Pan-gon mengekalkan 20 pemain daripada skuad kebangsaan ketika muncul naib juara Pestabola Merdeka bulan lepas dan kehadiran pemain tengah JDT, Afiq Fazail akhirnya menamatkan penantian penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram