WALAUPUN saingan Liga Super belum melabuhkan tirai dan penyokong tanah air juga akan dihidang dengan dalam tiga perlawanan lagi namun sudah ada khabar angin mengenai penghijrahan pemain untuk jendela perpindahan seterusnya.
Bukan setakat khabar angin mereka akan berpindah ke kelab dalam negara, malah ada juga cakap-cakap dalam kalangan penyokong bahawa pemain bertaraf tonggak pasukan akan menukar angin ke liga luar negara.
Situasi sebegitu rupa bukanlah perkara baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terutamanya apabila melihat keadaan semasa, yang mana masalah dalaman seperti isu tunggakan gaji menimpa beberapa kelab.
Jangankan penyokong, malah pemain juga pasti sudah muak dengan masalah gaji tidak berkesudahan ini sehingga cabut lari dengan menandatangani pasukan lain merupakan antara solusi terbaik untuk melarikan diri daripada isu tersebut.
Selain daripada sikap culas pihak pengurusan yang kurang bijak mengurus kewangan kelab, ada juga pemain memilih untuk ke kelab luar negara atas kehendak sendiri seperti ingin mengembangkan karier dan mengambil cabaran baharu.
Walau apa pun faktor yang diberikan pemain apabila memilih untuk berhijrah ke luar negara, kehilangan mereka juga sebenarnya akan memberi impak ke atas prestasi kelab terutamanya jika pemain tersebut ialah ayam tambatan kelab.
Berdasarkan khabar angin sedang bertebaran dalam kalangan penyokong, terdapat tiga pemain yang dijangka akan ke saingan liga luar negara dan secara langsung akan meninggalkan kesan kepada pasukan tersebut;
1) Sergio Aguero
Aguero disahkan sudah mendapat kerakyatan Malaysia pada 2022. — Facebook/SriPahang
Selepas hampir lapan tahun memberikan kepakarannya di saingan domestik, pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero dikaitkan akan mengembangkan kariernya ke negara jiran, Indonesia dengan menyertai Persija Jakarta.
Meskipun belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai tawaran itu namun media Indonesia juga sudah mula membicarakan mengenai penghijrahan Aguero, yang mana dia dibawa masuk untuk memperkuatkan bahagian serangan skuad kendalian Thomas Doll.
Jika pemain berusia 29 tahun itu berpendirian ingin mencuba nasib di Liga Satu Indonesia, ia pasti memberi tamparan hebat buat skuad Tok Gajah kerana kehilangan pemain tengah menyerang dan juga watak pemimpin pasukan.
Aguero bukan hanya pemain yang sudah membantu mencetak lima jaringan gol dan tiga hantaran bantuan dalam 11 aksi Liga Super dia diturunkan, malah tonggak kelahiran Argentina itu juga disenangi oleh rakan sepasukan sebagai kapten Tok Gajah.
2) Manuel Hidalgo
Hidalgo antara pemain utama Nafuzi untuk Kedah musim ini. — Facebook/KDAFC
Dengan situasi Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kini sudah disahkan mengalami isu gaji, tidak mustahil jika bintang utama Sang Kenari seperti Manuel Hidalgo akan menyarung jersi pasukan baharu pada musim depan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat laporan media Indonesia mengatakan bahawa Hidalgo kini sedang menjadi perhatian dua buah kelab yang beraksi dalam Liga 1 Indonesia iaitu PS Barito Putera dan terbaru PSIS Semarang.
Dengan masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh pihak pengurusan Sang Kenari, Nafuzi Zain mungkin boleh kehilangan arkitek serangannya ke pasukan negara jiran dan secara tidak langsung pemergiannya akan melumpuhkan perancangan 'Nafuzi Ball'.
Pada musim ini, Hidalgo menjadi kunci utama kepada serangan pasukan KDA FC dengan dia kini memegang rekod sebagai pemain dengan bantuan jaringan gol paling banyak iaitu sebanyak 10 bantuan gol di samping menyumbang empat jaringan dalam 21 perlawanan dia diturunkan.
3) Stuart Wilkin
Stuart mula menyertai Sabah FC secara pinjaman dari Johor Darul Takzim pada 2022. — Facebook/SabahFC
Nama pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin tiba-tiba dikaitkan akan ke saingan Liga Thailand selepas krisis kewangan didakwa berlaku kepada The Rhinos selepas beberapa perubahan dalam kalangan kepimpinan utama sehingga masalah kewangan turut terjejas.
Hal itu dibangkitkan penyokong apabila sebelum ini pengerusi kelab Port FC yang berpangkalan di Thailand, Nualphan Lamsam tanpa berselindung mengakui berhasrat untuk membawa masuk beberapa pemain skuad bola sepak kebangsaan untuk beraksi bersama kelabnya dan antaranya ialah Stuart.
Nualphan atau yang lebih mesra disapa Madame Pang tertarik dengan prestasi yang ditampilkan oleh Stuart dalam saingan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Mitsubishi Electric 2022 yang sedang berlangsung musim lepas.
Sekiranya pemain berusia 25 tahun itu mempertimbangkan tawaran Madamae Pang, ia akan menghilangkan sentuhan kreatif di bahagian tengah yang cukup diperlukan bagi menambah kekuatan bahagian serangan The Rhinos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram