Belum cukup lengkap, 3 posisi di JDT yang perlu diperkuatkan untuk musim 2024


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Kekuatan dan kebolehan JDT di peringkat domestik sememangnya tidak boleh dipersoalkan lagi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JIKA melihat kepada pemain yang berada dalam skuad utama Johor Darul Takzim (JDT) ketika ini, mereka seperti tiada kelemahan baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Kualiti penyerang yang pasukan itu miliki sememangnya cukup lengkap dengan kehadiran dua penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva serta Heberty Fernandes amat penting buat skuad Harimau Selatan.

Sekiranya kedua-dua pemain berkenaan berdepan isu kecederaan, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu masih boleh menurukan peledak kebangsaan, Syafiq Ahmad yang masih menunggu untuk mendapatkan minit permainan.

Di posisi serangan sayap pula, keunggulan Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri juga tidak boleh dipersoalkan selepas jumlah jaringan dan bantuan gol mereka sukar dipertikaikan.

Melihat kepada keutuhan benteng pertahanan pula, JDT memiliki lambakan pilihan untuk diturunkan dalam posisi bek tengah dengan Feroz Baharudin dan Jordi Amat boleh dianggap sebagai dua nama utama buat pengendali pasukan, Esteban Solari.

370627646_619084020354030_7215273051267518804_n

Skuad Harimau Selatan seperti tidak mempunyai kelemahan di kesemua posisi. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sekiranya kedua-dua bek tengah itu tidak dapat diturunkan, jurulatih kelahiran Argentina tersebut boleh memberikan minit permainan buat Shahrul Saad, Shane Lowry atau Adam Nor Azlin.

Kepelbagaian itu boleh dikatakan sebagai punca utama skuad Harimau Selatan mampu mencatatkan satu musim bersejarah dengan mereka ketika ini sudah menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah Liga Super.

Selain itu, JDT juga berada dalam kelas tersendiri apabila hanya mencicirkan dua mata sepanjang 21 perlawanan, iaitu ketika mereka seri dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Tidak cukup dengan itu, pasukan Selatan tanah air berkenaan turut berada dalam landasan terbaik untuk memecahkan rekod jumlah gol dibolosi paling sedikit dalam Liga Super.

Bagaimanapun, dengan mereka bercita-cita tinggi di peringkat lebih besar, penambahbaikan pastinya perlu dibuat dengan membawa masuk lebih ramai pemain setiap kali jendela perpindahan dibuka.

Meskipun pasukan mereka dilihat sudah cukup lengkap di kesemua posisi, masih terdapat beberapa isu yang timbul akibat usia semakin meningkat di samping kekurangan pilihan.

Jadi, Majoriti memilih untuk menyenaraikan tiga posisi utama yang perlu ditampung JDT untuk menaikkan lagi kebolehan mereka di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

1. Penjaga gol

Ketika ini, tugasan penjaga gol dipikul dua pemain kebangsaan, Syihan Hazmi dan Farizal Marlias dengan masing-masing memiliki perbezaan dari segi pengalaman.

Bagaimanapun, dengan usia Syihan masih boleh dianggap muda berbanding pesaingnya itu, dia diberikan lebih banyak pendedahan dan minit permainan sejak tiba awal musim lalu.

Di samping cekap dalam menepis bola pada minit-minit akhir, bekas pemain Negeri Sembilan FC tersebut turut dikenali dengan kebolehannya untuk menggagalkan sepakan penalti.

363381905_17994923051091858_316631238305811043_n

Syihan sudah mengesahkan tempatnya dalam kesebelasan utama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagi Farizal pula, statusnya sebagai seorang tonggak senior JDT menyaksikannya turut diberikan peluang, lebih-lebih lagi ketika berdepan lawan lebih lemah meskipun usianya sudah mececah 37 tahun.

Tetapi, sekiranya skuad Harimau Selatan mahu tampil dengan lebih megah, pihak pengurusan perlu mencari seorang penjaga gol untuk memberi saingan buat Syihan.

Meskipun sudah memiliki Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi sebagai pilihan, kedua-dua penjaga gawang itu masih tidak dapat memberikan aksi terbaik setiap kali diberikan peluang.

Oleh itu, pihak pengurusan perlu mencari idea untuk memastikan mereka mampu menurunkan seorang yang berkaliber di posisi itu sekiranya kecederaan melanda.

2. Bek kanan

Ketika jendela perpindahan lalu, JDT memilih untuk membawa masuk seorang bek kiri memandangkan pemain utama mereka, Corbin Ong sudah semakin berusia.

Jadi, selepas melihat kepada pilihan yang dimiliki, skuad Harimau Selatan membuat keputusan menyambar khidmat pertahanan kelahiran Sepanyol, Juan Muniz.

Bagaimanapun, kehadirannya masih belum benar-benar menyelesaikan isu pertahanan pasukan apabila mereka masih perlu mencari seorang bek kanan berkaliber.

340328757_6012301402189260_7603234188397409335_n

JDT masih perlu mencari seorang pelapis berkualiti untuk Matt Davies. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Melihat kepada skuad terkini, JDT masih meletakkan kepercayaan terhadap pemain pertahanan negara, Matt Davies dengan pemain berkenaan mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal Solari.

Tetapi, sekiranya JDT mahu bergelar salah sebuah pasukan terbaik dalam rantau Asia Tenggara, mereka perlu memastikan skuad dimiliki berada di tahap terbaik.

Berdasarkan skuad ketika ini, pesaing terdekat buat Davies di posisi itu ialah bekas pemain kebangsaan, Syahmi Safari yang lebih kerap diturunkan dalam Piala FA atau Piala Malaysia.

Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi posisi bek kanan, JDT perlu mencari seorang pemain pertahanan sayap berkualiti seperti Azam Azmi Murad dari Terengganu FC.

3. Pemain tengah bertahan

Sejak JDT dibangunkan pada 2012, salah satu posisi utama yang sering diberikan tumpuan ialah pemain tengah bertahan dengan peranan tersebut cukup penting untuk kestabilan pasukan.

Jadi, untuk memikul tanggungjawab itu, pihak kejurulatihan kelab meletakkan kepercayaan penuh di bahu pemain warisan negara, Natxo Insa yang cukup cemerlang sepanjang kira-kira tujuh tahun dengan pasukan itu.

Bagaimanapun, dengan pemain terbabit sudah semakin berusia, peranan tersebut kini diberikan kepada pemain tengah, Hong Wan yang pernah menimba pengalaman di luar negara.

333457329_175352378571077_3648225338439570658_n

Siapakah yang mampu menggantikan Hong Wan sekiranya dia tercedera? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selepas menyertai JDT pada tahun lalu, jeneral muda itu kini sudah menjadi komponen penting buat skuad Harimau Selatan dengan dia tidak pernah digugurkan untuk perlawanan Liga Super.

Tetapi, melihat kepada pilihan ketika ini, pasukan Selatan tanah air itu tidak mempunyai seorang pemain dengan peranan yang sama untuk diturunkan di posisi berkenaan.

Ketiadaan seorang pemain dengan kebolehan untuk membaca serangan lawan akan memberi kelonggaran sehingga mengakibatkan JDT sedikit takut untuk melancarkan serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram