Bukan hotel mewah atau stadium, kelab bola sepak perkenal pemain baharu pakai kopiah, berkain pelikat di madrasah


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Barisan pemain skuad Laskar Sapeh Kerrab itu memakai kain pelikat, kopiah dan menyarung jersi kelab semasa majlis tersebut. — Instagram/Madura

APABILA bercakap mengenai majlis memperkenalkan barisan pemain untuk sesebuah kelab, pasti acaranya akan diadakan di dewan, stadium pasukan tersebut dan hotel terkemuka juga boleh menjadi lokasi.

Berbeza dengan pasukan lain, sebuah kelab dari Liga Divisyen Satu Indonesia, Madura United menggunakan pendekatan berlainan apabila mengadakan majlis memperkenalkan pemain baharu di sebuah madrasah.

Madrasah Pesantren Al-Hamidy, Banyuanyar, Pamekasan, Jawa Timur, Indonesia menjadi lokasi terpilih untuk pasukan Madura United secara rasmi memperkenalkan skuad baharu mereka menjelang Liga 1 2023-2024.

Menerusi beberapa hantaran di Instagram rasmi pasukan itu, kelihatan barisan pemain skuad dengan gelaran Laskar Sapeh Kerrab itu memakai kain pelikat, kopiah dan menyarung jersi kelab semasa majlis tersebut.

“Madura United FC secara rasmi memperkenalkan semua pemain, jurulatih dan pegawai untuk memasuki saingan Liga 1 2023/2024 di Madrasah Pesantren Al-Hamidy Banyuanyar Pamekasan,” tulis laman rasmi Madura.

Langkah yang diambil oleh Madura United itu cukup unik dan lebih menarik apabila barisan pemain pasukan tersebut mengadakan perlawanan bola sepak menentang kakitangan Pesantren Al-Hamidy.

WhatsApp Image 2023-06-16 at 14.09.24

Antara aksi pemain Madura United mengadakan perlawanan bola sepak menentang kakitangan Pesantren Al-Hamidy. — Instagram/Madura

Seperti yang diketahui, Liga 1 2023-2024 secara rasmi akan bermula pada 1 Julai dan kini seluruh pasukan mempersiapkan pasukan mereka untuk pertandingan paling berprestij di Indonesia.

Madura United kini akan dikendalikan oleh Mauricio Souza yang mana beliau dilantik secara rasmi pada Mei lalu bagi menggantikan Fabio Lefundes dari Brazil.

Souza juga merupakan jurulatih Brazil ketiga yang melatih Madura United selepas Lefundes (2021-2023) dan Gomes de Oliveira (2016-2018).

Musim sebelum ini, Madura United menghabiskan liga dengan menghuni kedudukan kelapan dengan mencatatkan 14 kemenangan, 11 seri dan sembilan kekalahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram