FAM akui Elavarasan ada tugas berat di Piala AFF B-23, sediakan plan B jika gagal dapat khidmat duo Eropah


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Skuad B-23 negara ketika beraksi di Sukan SEA Kemboja. — FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia itu akan berusaha untuk mendapatkan khidmat dua pemain yang sedang beraksi di Eropah, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine, bagi Kejohanan AFF B-23 di Thailand pada Ogos depan, kata presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Bagaimanapun, seandainya kedua-dua pemain tersebut tidak mendapat pelepasan dari kelab masing-masing, Hamidin berkata, FAM akan mencuba untuk mendapatkan mereka bagi pusingan kelayakan Piala AFC B-23 pada September.

"Kejohanan AFF B-23 ini selalunya adalah persiapan untuk pusingan kelayakan Piala AFC kerana selepas kejohanan itu, kami akan ke Bangkok juga bagi pusingan kelayakan terakhir berkenaan.

"Jadi saya rasa, kita patut pergi jauh dalam kejohanan itu sama ada ke separuh akhir atau ke final.

Nooa Laine made his international debut for Malaysia against Turkmenistan.

Nooa Laine membuat penampilan sulung di skuad kebangsaan ketika aksi persahabatan bertemu Turkmenistan. — FAM

"Kami sudah mengadakan mesyuarat dengan jurulatih Elavarasan dan kali ini, dia perlu memastikan pasukan ini mara lebih jauh.

"Tetapi perlu diingat, untuk Kejohanan AFF B-23 ini, ia bukan dalam kalendar FIFA, jadi mungkin ada ramai pemain tidak dapat digunakan kerana ada yang terlibat dengan Liga Super atau Piala Malaysia ketika itu.

"Tetapi selepas itu, akan ada kelayakan Piala AFC B-23, itu lebih mustahak, di mana kita diletakkan dalam Kumpulan H bersama Thailand, Bangladesh dan Filipina, dan hanya pasukan terbaik dan empat pasukan di tangga kedua terbaik akan layak ke kejohanan utama tahun depan.

"Ia lebih mustahak kerana ia berada dalam kalendar FIFA," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bagi Kejohanan AFF B-23 bersama juara Sukan SEA, Indonesia, dan Timor Leste.

Luqman Hakim ketika ini sedang mewakili Njardvik FC di Iceland manakala Nooa pula sedang menyarung jersi SJK Akatemia di Finland. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram