HUJUNG minggu ini Liga Super akan direhatkan untuk memberi laluan kepada lapan pasukan bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan Piala FA 2023.
Terengganu FC akan melayani kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada pukul 5 petang pada Sabtu.
Manakala, Selangor FC pula dalam misi untuk meneruskan rentak kecemerlangannya apabila berkunjung ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan untuk bertemu anak-anak buah K. Devan pada Sabtu.
Sabah FC, Kuala Lumpur City, Johor Darul Takzim (JDT) dan Penang FC pula akan berentap sesama sendiri bagi menempah slot ke peringkat separuh akhir pada Ahad.
Jadual perlawanan suku akhir Piala FA 2023. — Facebook/MFL
Walaupun perlawanan masih belum bermula, rata-rata penyokong sudah mula memberi gambaran pasukan mana yang bakal melangkah ke peringkat separuh akhir.
Terengganu FC, Selangor FC, Sabah FC dan JDT merupakan calon kegemaran penyokong untuk melangkah ke separuh akhir.
Namun Negeri Sembilan FC dan KL City FC pula menjadi pasukan pilihan penyokong untuk melakukan sesuatu yang mengejutkan ke atas lawan mereka.
Kelantan FC pula dijangka mengalami kekalahan sekali lagi ia berikutan rekod semasa pasukan dalam Liga Super yang tak memberangsangkan meskipun ketua jurulatih baharu, Frank Berndhart mengambil alih daripada pengendali sebelum ini.
Selangor dan Sri Pahang antara pasukan yang pernah bermain di sebelah petang. — Facebook/Selangor FC
Selain kehangatan Piala FA yang akan bermula pada Sabtu, terdapat isu yang dibangkitkan oleh penyokong-penyokong berkenaan waktu sepak mula perlawanan di sebelah petang.
"Waktu 17:45 bersamaan 5:45 petang di Kota Kinabalu, Sabah bukan ke nak dekat masuk waktu Maghrib? soal Amin Zulkarnain.
"Solat Maghrib masanya singkat, tapi yang hairannya di Terengganu main pukul 5:00 petang pula," ujar Sallenaldo Salledinho.
"Awalnya Terengganu punya game, pukul 5:00 petang dengan sekarang ini panas terik tak akan MFL tak fikir soal pemain dan penyokong," luah Asyraf Azim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram