KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak kecewa walaupun pasukannya menamatkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super pada Rabu.
Bekas pemain legenda Singapura itu berkata, pasukannya tewas kepada pasukan terbaik dalam saingan liga namun tetap berpuas hati dengan komitmen setiap pemainnya.
Sri Pahang yang sebelum ini tidak pernah tewas dalam 11 perlawanan terakhir liga akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor meskipun menampilkan persembahan yang baik pada Rabu.
Katanya, gol di minit akhir babak pertama, membuat pemainnya terkedu tatkala mahukan keputusan seri bagi menamatkan 45 minit pertama.
JDT menjaringkan gol kedua pada minit ke-74 menerusi pemain import Argentina, Fernando Forestieri, yang menjaringkan gol ke-13 musim ini, menyamai pencapaiannya pada 2022.
Kesebelasan utama JDT ketika menentang Sri Pahang FC. — Facebook/JDT
Fandi berkata, pemain telah mengikut semua arahan taktikal yang diberikan tetapi jaringan pada minit akhir separuh masa pertama mengubah rancangan permainan.
“Kami tewas kepada pasukan terbaik dalam liga. Tahniah kepada pemain saya yang memberikan 100 peratus dan hampir berjaya mencipta kejutan tetapi jaringan pada minit terakhir separuh masa pertama sedikit mematahkan semangat mereka,” kata Fandi.
“Saya masih berbangga dengan pemain yang memberikan segala-galanya. Pemain memberi tekanan kepada JDT dan kami juga mempunyai beberapa peluang tetapi tidak bernasib baik.
“Taktik kami adalah untuk menutup Arif Aiman Hanapi dan hantaran dia berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan kami. Taktik kami berjaya tetapi mereka bijak mengambil peluang.
“Kami tidak menjangkakan gol Bergson. Keputusan boleh berubah jika ia kekal 0-0 pada separuh masa pertama kerana mereka akan lebih kecewa tetapi ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Fandi.
Fandi turut mengakui memerlukan beberapa lagi pemain terutama di bahagian pertahanan dan bahagian tengah menjelang jendela perpindahan kedua bulan depan.
"Kami agak kekurangan dalam barisan simpanan kerana kehilangan tiga pemain dan seorang pemain pinjaman," katanya.
“Bagaimanapun, pemain gantian bermain dengan baik dan mendengar arahan barisan kejurulatihan. Saya gembira dengan persembahan walaupun saya tahu ia bukan mudah untuk ditewaskan dan kami hanya tewas 2-0 dan mampu mencipta beberapa peluang,” tambahnya.
Jurulatih JDT, Esteban Solari mengakui mereka perlu bekerja keras untuk meraih tiga mata daripada pasukan Pahang.
“Kami boleh mendahului pada separuh masa pertama kerana terdapat kekasaran terhadap pemain kami dan kami boleh mendapat penalti tetapi ia tidak berlaku. Mereka tidak berputus asa dan terus menyerang,” katanya.
“Pada separuh masa kedua, kami mengawal permainan dan terus memberikan tekanan tetapi lawan kami mula bermain permainan kompak di posisi tengah untuk memotong hantaran bola pendek kami,” jelasnya.
JDT mengukuhkan cengkaman dalam Liga Super dengan 36 mata, lebih 12 mata berbanding Selangor di tangga kedua. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram