BUKAN hanya di Malaysia malah perlawanan bola sepak di negara jiran juga dicemari dengan insiden pergaduhan hingga tular di media sosial.
Dalam satu perlawanan di Desa Mombi, Polewali Mandar, Sulawesi Barat, Indonesia pada 11 Mei lalu, timbul salah faham antara pemain pasukan Tidola Darma dan Tomadio FC.
Aksi yang pada mulanya sengit tertangguh akibat pergaduhan yang timbul.
Berdasarkan video yang dikongsikan Kompas TV, pemain dari kedua-dua belah pihak dilihat mengejar antara satu sama lain.
Kelihatan juga salah seorang pemain bersikap biadab selepas mendapat sepakan percuma.
Disebabkan tidak berpuas hati, pemain lain cuba membuat protes terhadap keputusan pengadil hingga mereka menolak antara satu sama lain.
Selepas insiden tolakan itu, kelihatan salah seorang pemain mula melakukan kekasaran dengan memukul pemain lawan.
Kekecohan semakin buruk hingga membabitkan penyokong kedua-dua pasukan yang turut masuk ke dalam kawasan padang.
Pengadil juga menghentikan perlawanan buat seketika agar keadaan huru-hara tidak berterusan.
Ketua Polis Daerah Alu, Ajun Komisaris Andi Radi berkata, anggotanya dapat mengawal kekecohan itu dengan bantuan penganjur bola sepak.
Tidola Darma menang dengan jaringan 2-1 ke atas Tomadio FC yang menyaksikan pasukan terbabit tersingkir daripada perlawanan dalam perebutan Piala Hamsi Nur Satu 2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram