Arsenal tewas mengejut, Manchester City rai kejuaraan EPL lebih awal


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

Erling Haaland diraikan oleh pemain-pemain City selepas memecahkan rekod gol terbanyak yang dijaringkan dalam Liga Perdana. — Agensi

MANCHESTER City memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima dalam enam musim selepas pencabar terdekat, Arsenal tewas 0-1 di tangan Nottingham Forest pada awal pagi Ahad.

Peluang The Gunners untuk mengejar City tertutup sepenuhnya selepas kekalahan kedua berturut-turut meletakkan anak buah Mikel Arteta empat mata di belakang pendahulu dengan hanya satu perlawanan berbaki.

Arsenal, yang mempunyai kelebihan lapan mata ke atas City sebelum ini pada pertengahan Mac, memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk kekal secara matematik dalam pemburuan kejuaraan tetapi malangnya mereka tewas 0-1.

Gelaran ketiga berturut-turut City menjadikan perlawanan liga di laman sendiri menentang Chelsea pada Ahad sebagai medan meraikan kejuaraan.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini boleh memberikan tumpuan untuk melengkapkan treble apabila berdepan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bulan depan.

Ia merupakan kejuaraan Liga Perdana yang ketujuh City sejak mereka dibeli oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan dari Abu Dhabi pada 2008.

Mereka kini hanya tinggal dua kemenangan lagi untuk melengkapkan treble yang hanya dicapai oleh Manchester United pada 1999.

Pep Guardiola kini telah memenangi sebanyak 12 trofi sejak dilantik City pada 2016. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram