Gustavo jadi 'ejen', cubaan pujuk bekas peledak Negeri Sembilan terbongkar


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Alvas (kanan) menghasilkan lapan jaringan gol untuk NSFC pada musim lalu. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SEPERTI pasukan lain, Negeri Sembilan FC (NSFC) juga tidak lari daripada terkait dengan khabar angin mengenai perpindahan pemain yang sedang berlegar di media sosial.

Sedikit berbeza mengenai khabar angin perpindahan pemain yang berlaku di kem skuad Jang apabila NSFC dikatakan masih merindui sentuhan bekas tonggak import dan akan membawa mereka semula ke Liga Malaysia (Liga M).

Perkara itu juga sebenarnya seperti ditunggu-tunggu bekas import mereka berikutan awal bulan ini, Gustavo Almeida seperti masih merindui untuk beraksi di kancah domestik apabila penyerang Brazil itu memuat naik jaringan golnya ketika menyarung jersi skuad Jang.

Pemain berusia 26 tahun itu merupakan antara tonggak penting dalam skuad kendalian K.Devan pada musim lalu selepas berhasil menghasilkan 11 gol dalam 13 perlawanan liga yang mana menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tangga keempat dalam Liga Super.

WhatsApp Image 2023-05-20 at 11.22.16

Tangkap layar hantaran Gustavo.

Tidak ingin seorang diri kembali ke Liga M, Gustavo juga dilihat cuba untuk memujuk gandingannya pada musim lalu iaitu Matheus Alves agar kembali beraksi di tanah air selepas kedua-duanya meninggalkan NSFC pada Disember 2022.

Cubaan memujuk Alves itu dikenal pasti penyokong NSFC apabila Gustavo memuat naik foto ketika kedua-duanya masih menyarung jersi skuad Jang pada musim lepas.

Meskipun rekod jaringan Alves tidak menyamai Gustavo namun gandingan duo penyerang Brazil itu mampu memberi lebih ancaman kepada pihak lawan di bahagian jentera serangan.

Musim lalu pemain berusia 30 tahun itu menghasilkan lapan jaringan gol untuk NSFC termasuk dua daripadanya ketika saingan Piala Malaysia 2022.

alves gus

Gustavo (kiri) dan Alves merupakan antara penyerang import terbaik pernah dimiliki skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Alves kini menyertai kelab Finland, FC Lathi dan selepas menyertai liga divisyen tertinggi negara tersebut pada Mac lalu, pemain bertubuh sasa itu sudah tampil dalam empat perlawanan.

Jika kedua-dua pemain import itu masih merindui beraksi bersama skuad Jang, pihak pengurusan NSFC berkemungkinan boleh mempertimbangkan untuk membawa mereka semula pada jendela perpindahan kedua nanti.

NSFC kini meletakkan Casagrande dan Shahrel Fikri di jentera serangan dan kedua-dua pemain itu masing-masing mencetak tiga jaringan buat skuad Jang selepas 11 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram