KEPERCAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC kepada penyerang kelahiran Brazil masih tidak luntur apabila difahamkan skuad Sang Kenari ddikhabarkan bakal membawa masuk seorang lagi pemain dari negara Amerika Selatan itu.
Khabar angin kemasukan pemain baharu itu dikatakan bagi menggantikan posisi Willian Lira yang mana masih ada penyokong Hijau Kuning berharap agar tonggak berusia 29 tahun itu 'hilang' daripada bumi Darul Aman menjelang perpindahan kedua.
Jumlah lima jaringan gol yang dimiliki bekas tonggak Ventforet itu belum mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai penyerang utama pasukan utara tanah air tersebut.
Oleh itu, tidak hairanlah jika pihak pengurusan masih bertungkus-lumus untuk membawa seorang lagi penyerang baharu iaitu Tiago Leonco yang kini beraksi di Liga Satu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Dhafra FC.
Selepas berkelana selama semusim di kelab Jepun, JEF United, penyerang berusia 30 tahun itu diumumkan oleh kelab Al Dhafra sebagai salah satu tonggak yang akan membantu jentera serangan pasukan UAE itu bagi saingan 2023.
Leonco membuat kejutan di kelab baharunya itu apabila berhasil mencetak jaringan gol debutnya pada penampilan pertamanya dalam perlawanan Al-Dhafra FC menang 2-1 ke atas Dibba.
Leonco menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama Al-Dhafra FC. — Instagram/Leonco
Tiago yang meninggalkan negara kelahirannya di usia 22 tahun bagi meneruskan karier bola sepak profesionalnya sudah beraksi di pelbagai kelab seperti di Portugal, Denmark, Cyprus, Hong Kong, China dan akhirnya di negara Timur Tengah itu.
Seperti pemain bola sepak lain, Leonco juga tidak terkecuali daripada terpalit dengan kisah kontroversi apabila difahamkan dia pernah terpalit dengan isu gaji ketika menyarung jersi kelab divisyen tertinggi Hong Kong, R&F Hong Kong.
Pihak pengurusan Liga Perdana Hong Kong yang berpangkalan di Guangzhou itu meninggalkan kelab bergantung tak bertali apabila pemilik R&F Properties, Li Sze-lim, mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bola sepak Hong Kong pada 14 Oktober 2020
Kejadian tersebut berlaku ketika musim 2020 yang mana berdasarkan semakan di laman Transfermarkt, Leonço juga merupakan antara beberapa pemain yang terpalit dengan isu tersebut.
Bekas pemain Santa Clara itu pernah menyarung jersi R&F Hong Kong ketika musim 2018 hingga 2020 dan dia juga merupakan penjaring terbanyak pasukan tersebut pada 2018 dengan menjaringkan 10 gol dalam 17 perlawanan.
Selain daripada Leonco, pihak pengurusan Kedah juga sebelum ini dikatakan akan membawa semula bekas penyerang, Thiago Augusto yang kini beraksi di Liga Satu Bahrain, Hidd SCC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram