'Lega, menang tutup sikit kesilapan', Ubaidullah nyaris jadi bahan 'troll' angkara gol sendiri di Kemboja


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Pemain Harimau Muda skuad B-22 menjalani latihan bagi menghadapi cabaran di Sukan SEA Kemboja. — Facebook/ FAM

TONGGAK pemain pertahanan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili lega apabila penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA tidak berakhir dengan episod duka.

Pemain Terengganu FC berusia 20 tahun itu berkata, kesilapannya menjaringkan gol sendiri ketika menentang Laos pada aksi sulung Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 pada Rabu, hampir memusnahkan impiannya untuk membuat debut sempurna.

Menurutnya, kemenangan 5-1 yang dilakar pasukan negara menyelamatkan namanya yang berdepan kecaman sekiranya Malaysia gagal meraih keputusan positif pada pertembungan itu.

"Lega sangat, kalau tidak kena kecam saya...rakan-rakan sepasukan pun cakap kalau kita tewas saya memang akan kena (kecam)...memang kemenangan ini tutup kesilapan saya sedikit sebanyak.

"Saya juga bersyukur mempunyai rakan-rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak beri sokongan untuk saya teruskan perlawanan sampai tamat. Bagi saya apa yang terjadi adalah satu proses pembelajaran untuk diri saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Prince.

Pada aksi tersebut, Muhammad Ubaidullah yang meledak gol pembukaan negara seawal minit keempat, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-21 ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Phetdavanh Somsanid, sekali gus memberi gol penyamaan kepada Laos.

Bagaimanapun, skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan berjaya bangkit mencetak empat gol, masing-masing menerusi dua pemain gantian Muhammad Syahir Bashah dan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal, selain dua jaringan sendiri Anantaza Siphongphan dan Phoutthavong Sangvilay.

"Perlawanan pertama biasanya susah tetapi kita berjaya meraih kemenangan untuk suntik motivasi pasukan dalam perlawanan seterusnya...bagi saya ini permulaan yang baik,” kata Muhammad Ubaidullah.

Malaysia akan menentang Thailand pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Prince, Sabtu ini.

Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan kumpulan, sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.

Vietnam pula menerajui saingan dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram