Sebelum terbang ke China untuk latihan, Nur Dhabitah sah jadi isteri kepada pelawak terkenal


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Jiggy dan Nur Dhabitah tidak berhasrat merahsiakan pernikahan, cuma menunggu masa sesuai untuk berkongsi berita gembira.

ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri sah menjadi isteri kepada pelawak dan pelakon, Mohamad Aizat Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Jiggy Masin pada Jumaat lalu dalam sebuah majlis tertutup.

Menurut Jiggy yang berusia 33 tahun itu, mereka tidak berniat untuk merahsiakan pernikahan tersebut sebaliknya memilih untuk berkongsi berita gembira itu pada waktu yang sesuai.

Majlis pernikahan tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja dan cukup dengan sekali lafaz, pasangan sejoli itu sah menjadi suami isteri.

“Alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sah menjadi suami kepada Dhabitah pada Jumaat. Majlis akad nikah kami diadakan secara tertutup yang dihadiri ahli keluarga seramai 150 sahaja.

“Kami tak ada niat pun nak sorok apa-apa... cuma nak jaga amanah dan janji keluarga kedua-dua belah pihak untuk tidak umumkan apa-apa selagi belum sah.

“Saya nak minta maaf kepada rakan media sebab sebelum ini saya tak respons soalan mengenai kami sebab seperti yang saya katakan, nak jaga janji dan amanah keluarga,” katanya memetik laporan Gempak.

Kedua-dua mula berkenalan ketika bertemu di sesi fotografi dan tidak sampai sejak daripada itu atlet berusia 23 tahun itu berkawan dan membina hubungan bersama Jiggy.

“Saya dan Dhabitah dah kenal lebih kurang setahun lebih juga lah. Mula-mula kami berkawan saja sebab jumpa masa sesi fotografi sama-sama.

“Kemudian kebetulan ada shooting program sama-sama. Jadi, dari situ macam rapat tapi memang tak ada plan nak kahwin ke waktu itu. Tapi, Alhamdulillah jodoh kami,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 13.40.19

Nur Dhabitah difahamkan akan terbang ke China untuk sesi latihan.

Dalam pada itu, Jiggy juga menyatakan bahawa mereka sedang menunggu tarikh sesuai untuk mengadakan majlis resepsi berikutan kedua-duanya sedang sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Difahamkan, Nur Dhabitah juga akan terbang ke China selama sebulan untuk sesi latihan sebagai persiapan untuk kejohanan dunia seperti Olimpik.

“Majlis buat dekat rumah Dhabitah... Insya-ALLAH resepsi ada tapi masih dalam perbincangan sebab dua-dua sibuk dan Dhabitah pun ada big competition coming including Olympic, Asian Games.

“Dia kena pergi China dalam sebulan untuk sesi latihan. Tapi once ada tarikh, Insya-ALLAH saya update untuk jemput kawan-kawan media,” katanya.

Untuk rekod, Jiggy mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 selepas empat tahun bercinta dengan pengacara dan pelakon, Elly Ariffin namun jodoh terlerai pada 2016. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram