FAM sokong idea TMJ buat forum terbuka bersama pemilik kelab


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

TMJ ketika sesi soal jawab bersama para penyokong JDT pada 20 September 2022. — Facebook/JDT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik cadangan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk mengadakan forum terbuka bersama pemilik kelab masing-masing.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, forum tersebut sudah tentu akan memberikan sesuatu yang positif terutama untuk meningkatkan mutu setiap pasukan.

Bagaimanapun, Hamidin berkata, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir liga juga tidak pernah duduk diam dan sering mengadakan perjumpaan dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab masing-masing secara berkala.

"Liga ini di bawah MFL dan Datuk Ab Ghani Hassan selaku presiden MFL dan Stuart Ramalingam selaku CEO sering mengadakan perjumpaan secara fizikal atau dalam talian dengan CEO kelab-kelab.

"Tetapi, mungkin dengan pemilik kelab belum ada lagi. Itu cadangan Tunku Ismail untuk forum terbuka bersama pemilik kelab dan semestinya satu cadangan yang baik," katanya.

Sebelum ini, TMJ mencadangkan satu forum terbuka diadakan melibatkan semua pemilik kelab Liga Malaysia demi kemajuan bola sepak negara.

Menurut TMJ, forum terbuka itu diadakan untuk memudahkan penyokong bertanya sebarang persoalan mengenai perkembangan kelab masing-masing.

Malah, terdapat juga cadangan yang mahu FAM dan MFL bersama dalam forum terbuka itu agar agenda forum boleh diangkat sebagai agenda nasional.

Selain itu, ia akan menjadi medium terbaik buat FAM dan MFL menjawab persoalan penyokong berhubung pelbagai isu membabitkan bola sepak negara. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

FAM, Hamidin Mohd Amin, TMJ, forum terbuka, MFL, JDT