NAMA baik penjaga gol pasukan Kelantan FC, Rozaimi Rahamat sebelum ini tercemar apabila dia dikatakan salah seorang daripada individu di sebalik skuad The Red Warrios (TRW) yang cuba membuka pekung pihak pengurusan.
Ia bermula apabila sebuah hantaran yang didakwa luahan hati pemain berusia 26 tahun itu ditafsir mempunyai kaitan dengan masalah gaji pasukan Pantai Timur tersebut.
‘Ingatkan penuh, rupanya separuh pun tidak sampai. Hahahahaha,” tulis kenyataan yang didakwa dihantar oleh Rozaimi menerusi Insta Story miliknya.
Tangkap layar Insta Story yang bertebaran di media sosial itu bagaimanapun hanyalah salah faham dan ia dijelaskan isteri kepada bekas penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) II itu yang telah tampil mendedahkan hal sebenar.
Hanya ingin dikenali sebagai Puan Rose, isteri kepada pemain itu berkata, hantaran berkenaan tidak sama sekali mengatakan mengenai nasib yang dihadapi Rozaimi bersama kelab Pantai Timur itu.
Tangkap layar Insta Story berkenaan.
Sebaliknya, ia hanya bertujuan untuk menceritakan situasi berbeza dihadapinya kerana dia mempunyai akses kepada laman Instagram terbabit.
“Sebenarnya salah spekulasi itu. Sebenarnya itu adalah luahan peribadi saya. Saya yang up, itu adalah instagram saya bukan suami (Rozaimi) saya. Cumanya, saya letak username gabungan nama saya dan suami. Orang semua salah faham.
“Status itu merujuk kepada keadaan saya, bukan suami. Status berkenaan tiada kaitan langsung dengan isu dalaman TRW,” katanya kepada Majoriti yang enggan mendedahkan lebih lanjut situasi peribadi itu.
Awal April lalu, kemelut dalaman melibatkan Kelantan FC dengan ejen terkenal dari Korea Selatan, Myeongho Jeong dan ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik mengisi paparan utama media.
Ia bermula apabila pengendali Korea Selatan berusia 52 tahun itu yang menyertai Kelantan pada Januari lepas dan menjadi jurulatih pertama direhatkan musim ini.
Jeong iaitu ejen jurulatih itu membuat beberapa dakwaan negatif terhadap pengurusan TRW di media sosial dan sedia membawa perkara ini ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Terdahulu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah sudah meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara itu namun sehingga kini ia masih tidak selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram