TONGGAK import Sri Pahang FC, Stefano Brundo layak digelar wira apabila jaringannya tunggalnya ketka masa kecederaan berhasil membantu Tok Gajah menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Keputusan itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah menghadiahkan tiga mata penuh kepada penyokong, selain kekal utuh mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lapan perlawanan dalam Liag Super.
Ini bukan kali pertama tonggak pertahanan itu menggembirakan kem Sri Pahang apabila sebelum ini dia juga menjadi penjaring tunggal buat pasukannya ketika seri menentang Selangor FC (1-1) dan KDA FC yang berkesudahan 1-1 juga.
Meskipun beraksi di posisi pertahanan, Brundo tidak menjadikan ia alasan untuk mengelak daripada menyumbang jaringan gol, malah pemain berusia 29 taun itu merupakan penjaring terbanyak Sri Pahang dengan merekodkan sebanyak lima gol dalam saingan Liga Super musim 2023.
Maka, tidak hairanlah apabila pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menyifatkan bahawa tonggak import dari Argentina itu merupakan seorang pemain yang bijak.
Brundo ketika meraihkan jaringan tunggalnya ketika aksi menentang skuad Kijang Hijau pada Isnin. — Facebook/SriPahang
Mendengar pujian berkenaan, Brundo bagaimanapun kekal dengan rasa rendah diri dan beranggapan ia adalah hasil kerja keras satu pasukan.
“Saya perlu beraksi dengan bijak di padang karana kadang saya seorang di tengah, jadi saya kena cover kekosongan yang ada.
“Tapi saya rasa semua pemain bijak dan sebab itu kami berada di kedudukan ketiga liga,” kata Brundo memetik laporan daripada Nadi Arena.
Hasil jaringan tunggal daripada Brundo pada minit ke-93 itu meletakkan Sri Pahang pada kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 16 mata.
Sri Pahang berpeluang untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka ketika pertemuan bersama Kuching City FC di tempat lawan bagi aksi kesembilan liga selepas perlawanan Piala FA menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram