Sedar kekuatan pemain senior KUFC, TFC nekad buru kemenangan kedua


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

TFC kini menghuni kedudukan kesembilan Liga Super dengan empat mata. — Facebook/TFC

MISI wajib menang dilaungkan pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner apabila pasukan itu menerima kunjungan Kelantan United FC (KUFC) pada aksi keenam Liga Super pada Jumaat.

Beliau yang mesra dengan panggilan Tommy, justeru menggesa anak buahnya menggunakan segala kudrat yang ada untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, Terengganu.

Katanya, skuad Penyu perlu menang seberapa banyak perlawanan jika ingin berada di kelompok teratas Liga Super.

"Kami tidak ada pilihan kecuali menang dan mengutip tiga mata pada perlawanan menentang KUFC Jumaat ini.

"Sudah tentu setiap perlawanan beri sedikit tekanan kerana setakat ini kami hanya mengumpul empat mata daripada lima perlawanan. Saya harap pemain dapat meningkatkan mutu permainan dan beraksi lebih baik dalam perlawanan akan datang untuk meraih tiga mata,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di SSMZA.

WhatsApp Image 2023-03-30 at 16.35.26

Shahrul Nizam (kiri) sewaktu aksi menentang Negeri Sembilan FC. — Facebook/TFC

Sementara itu, kapten TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni berharap rakan sepasukannya dapat mengikut perancangan yang ditetapkan ketua jurulatih malam esok.

Shahrul Nizam berkata, walaupun skuad Kijang Hijau dibarisi ramai tonggak berpengalaman seperti Syazwan Zainon dan Indra Putra Mahayuddin, ia bukan alasan untuk TFC terlalu memandang tinggi keupayaan pihak lawan.

"Saya akui moral dan tahap keyakinan rakan sepasukan mungkin agak terjejas selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir, tetapi saya nak ingatkan mereka supaya jangan gerun sangat dengan KUFC. Atas padang tiada istilah pemain senior atau junior... hanya yang kuat akan menang,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram