Dapat surat tunjuk sebab, Steinbruckner usaha cari jalan tapi resah 2 tonggak import masih cedera


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Tomislav menerima surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan tempoh hari. — Facebook/ TFC

KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner percaya pasukan akan kembali menemui jalan keluar selepas dirundum prestasi tidak menentu dalam lima perlawanan awal Liga Super musim ini.

Susulan aksi tidak memberangsangkan naib juara Piala FA 2022 itu yang hanya meraih satu kemenangan yang menyaksikan Steinbruckner menerima surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan tempoh hari.

Nyata, ia bukanlah situasi yang diinginkan oleh pengendali dari Croatia itu, namun Steinbruckner tidak berputus asa dalam usaha untuk mengembalikan prestasi sebenar pasukan selain percaya Terengganu akan lebih agresif selepas ini untuk memburu kemenangan.

Jelasnya, kelemahan ketara skuad Sang Penyu adalah ketumpulan bahagian depan yang sukar untuk mencari jaringan apabila setakat ini hanya mampu meraih dua gol sahaja ketika menentang Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

“Selepas lima perlawanan, kita sudah buat banyak analisis dan kalau tengok kepada cara pemain beraksi tidaklah begitu teruk cuma begitu sukar untuk mendapatkan gol.

335632047_1051638495793049_3807691768243173690_n

Habib (kanan) dan Kulmatov (dua kiri) masih mengalami kecederaan. — Facebook/ TFC

“Sudah tentu saya rasa tekanan itu tetapi ini adalah normal untuk pasukan dan untuk saya sendiri sebagai jurulatih, jadi apa yang kita kena buat adalah untuk terus mencari peluang meraih tiga mata.

“Ia bukan senang namun saya tidak akan berputus asa terhadap pasukan ini, kita akan terus berusaha dan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk meningkatkan kualiti daripada segi menjaringkan gol dan membuat keputusan di atas padang," katanya dalam kenyataan MFL pada Rabu.

Sementara itu, Steinbruckner turut mengharapkan dua pemain import iaitu Habib Haroon dan Sardor Kulmatov akan kembali cergas untuk menentang Kelantan United pada Jumaat ini susulan kecederaan yang dialami mereka ketika ini.

Haroon yang sebelum ini mengalami kecederaan hamstring pada pramusim masih merasai kesakitan sama ketika dalam sesi latihan manakala Kulmatov pula berdepan kecederaan lutut dan akan kembali berlatih pada Selasa.

“Sebelum ini Habib Haroon mengalami kecederaan hamstring ketika di Thailand dan sekarang dia masih ada rasa sakit, jadi kita harap dia dapat bersedia untuk lawan Kelantan United.

“Kulmatov pula ada mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dia dah menjalani proses pemulihan sejak minggu lalu, tetapi esok (Selasa) dia akan sertai sesi latihan bersama pasukan.

“Kita tengok balik keadaan mereka macam mana dan sekarang pun kita dah berlatih pada waktu malam, jadi banyak nak kena jaga terutamanya dari segi kesihatan para pemain," jelasnya.

Terengganu FC akan melayan kunjungan Kelantan United FC ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram