Pertahan sign ‘injury prone’ Safuwan, NSFC tetap resah jumpa Tok Gajah


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Levy Madinda (dua kanan) mencari keserasian dengan pemain NSFC yang lain ketika sesi latihan pasukan itu. — Facebook/ NSFC

PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan mengharapkan keputusan positif dengan sekurang-kurangnya seri pada perlawanan pertama Liga Super menentang Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad.

Meskipun dilihat agak sukar berikutan prestasi baik SPFC, beliau yakin anak buahnya mampu menampilkan persembahan cemerlang selain kelebihan bermain di laman sendiri dan sokongan padu penyokong.

"Menjadi harapan pasukan untuk raih tiga mata pada perlawanan esok (Ahad) tapi kita (NSFC) kena berdepan realiti bahawa persiapan SPFC lebih baik, mereka ke Thailand untuk perlawanan persahabatan, ada pemain berkualiti dan kuota pemain import lebih baik.

"Saya tak nafikan kita ada kekurangan dari segi persiapan tapi pastinya kita akan usaha lebih untuk dapat tiga mata, bagaimanapun kalau dapat seri dalam perlawanan pertama ia bonus untuk NSFC,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad Jang.

Devan berkata, NSFC turut memerlukan lebih masa untuk mencapai keserasian dan memahami taktikal pasukan yang dibarisi beberapa muka baharu terutama pemain importnya seperti pertahanan dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin dan pemain tengah Levy Madinda dari Gabon.

332906449_725878945657541_2778085887756754880_n

Sebahagian pemain SPFC menjalani latihan sebelum aksi menentang NSFC. — Facebook/ Sri Pahang FC

Dalam pada itu, beliau berkata, Muhammad Safuwan yang sebelum ini dibelenggu kecederaan kini bersedia beraksi selain mengharungi dua perlawanan persahabatan.

"Kita sudah melihat laporan perubatannya dari pasukan Selangor, doktor juga mencadangkan beliau dipanggil untuk latihan dan perlawanan persahabatan, prestasinya baik sebab itu kita tetapkan dia sebagai pemain import,” katanya.

Tahun lepas, Selangor terpaksa melupakan khidmat Muhammad Safuwan berikutan beliau mengalami mild traumatic brain injury dan diberi rehat yang panjang.

Sementara itu, Devan berkata, masih terlalu awal untuknya menetapkan sasaran kedudukan NSFC pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini kerana perlu menilai keupayaan dan kekuatan sebenar setiap pemainnya.

"Saya tidak tahu kekuatan mereka mungkin susah untuk meletakkan sasaran, mungkin selepas melalui tiga atau empat perlawanan (boleh sasar) selain melihat kualiti pemain, selepas itu baru boleh ramal pencapaian kita tahun ini,” katanya sambil menambah sudah ada kesebelasan utama bagi perlawanan tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram