'Kita perlu realistik', Fandi Ahmad ada 2 sebab sasar Tok Gajah Top 5 Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Pemain Sri Pahang FC bagi saingan Liga Super 2023 diperkenalkan pada Isnin. — Facebook

SKUAD Sri Pahang FC (SPFC) meletakkan sasaran realistik iaitu sekurang-kurangnya menghuni kedudukan lima teratas pada saingan Liga Super 2023 yang bakal membuka tirainya, Jumaat ini.

Ketua Jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi kerana pasukan kendaliannya masih di tahap mencari keserasian di atas padang selain beberapa pemain mengalami kecederaan.

"Semua mahukan kemenangan tetapi kita perlu realistik dan sasaran kita ialah di bawah lima, jika pada kedudukan ketiga itu, Alhamdulillah.

"Boleh dikatakan sebahagian daripada pemain Sri Pahang musim ini dibarisi muka baharu tetapi hasil latihan di Bangkok pada pramusim lalu melihatkan mereka berjaya menyesuaikan diri dengan latihan walaupun ada dua atau tiga pemain kita masih cedera," katanya.

328850771_6153387464711426_849705321239889246_n

Fandi mahu pemain lebih fokus untuk mengutip sebanyak mungkin mata pada setiap perlawanan. — Facebook

Fandi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Sri Pahang FC 2023, pada Isnin.

Majlis turut dihadiri Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah; Pengerusi SPFC, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Pada majlis berkenaan, SPFC memperkenalkan jersi 'home' dan 'away' dengan gandingan warna biru dan kuning, manakala jersi ketiga berwarna putih ditaja oleh syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo.

Pada musim ini, Invest Pahang muncul penaja utama SPFC manakala rakan penaja lain ialah Arwana Travel and Tours, Data Sukan dan XOX Berhad.

332511770_1310712862843132_5425447792734979872_n

Sebahagian pemain Sri Pahang FC ketika Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Sri Pahang FC 2023, pada Isnin. — Facebook

Sementara itu, Fandi juga mengakui belum berani meletakkan impian lebih jauh seperti Piala AFC tetapi lebih fokus untuk mengutip sebanyak mungkin mata pada setiap perlawanan.

"Jika berjaya dalam misi memungut mata, baru kita akan lihat ke arah itu...sementara ini saya tidak boleh bercakap hal berkenaan.

"Dari segi saingan yang bakal diberi oleh pasukan lain pula, saya percaya masing-masing sedang menguatkan pasukan dan keupayaan kita mungkin sama, satu-satunya pasukan yang berbeza dalam saingan ini ialah Johor Darul Takzim (JDT)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh menyifatkan persiapan skuad Tok Gajah musim 2023 agak berlainan berbanding dengan beberapa musim kebelakangan ini.

"Musim ini persiapan skuad Sri Pahang dilihat lebih menyerlah di bawah ketua jurulatih (Fandi) dan saya percaya dia mampu memainkan peranan untuk membawa pasukan lebih jauh," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram