PENJAGA gol Belgium, Arne Espeel meninggal dunia pada usia 25 tahun selepas rebah di atas padang sewaktu menyelamatkan sepakan penalti untuk pasukan amatur, Winkel Sport B pada Sabtu.
Winkel Sport B yang bermain di bahagian wilayah kedua West Brabant di Belgium, ketika itu mendahului 2-1 menentang Westrozebeke apabila lawan mereka dihadiahkan penalti pada separuh masa kedua.
Menurut laporan media Belgium, Espeel menyelamatkan sepakan penalti tetapi rebah ke tanah serta-merta selepas itu.
Perkhidmatan kecemasan bergegas untuk membantu Espeel dan cuba memulihkannya dengan defibrilator tetapi dia disahkan meninggal dunia sejurus selepas dia dibawa ke hospital.
Aksi itu berlangsung di venue tuan rumah di Sint-Eloois-Winkel di Wilayah Flanders Barat.
"Winkel Sport berada dalam kesedihan yang amat mendalam dengan kematian mengejut Arne Espeel.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Arne atas kehilangan berat ini, " kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Bedah siasat dijadual dijalankan pada Isnin untuk menentukan punca kematian Espeel.
Laporan dalam akhbar Het Nieuwsblad berkata, lebih 1,000 orang hadir untuk memberi penghormatan kepada Espeel pada petang Isnin. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram