Lepas dikecam, Bong Guang Yik akhirnya mohon maaf buat kenyataan rasis


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Guang Yik memohon maaf atas kekhilafan dalam pertuturannya. — Facebook

BEKAS pemain badminton pelapis percubaan negara, Bong Guang Yik akhirnya memohon maaf susulan kenyataan berbaur perkauman menerusi video yang dimuat naik di media sosial.

Permohonan maaf itu susulan kenyataan berbaur perkauman yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat majmuk negara.

Guang Yik berkata, dia terdorong untuk berkongsi pendapat mengenai perkembangan semasa badminton di Malaysia tetapi mengakui sudah melangkaui batas apabila menyentuh soal kaum dan agama.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua. Sebab utama saya memberikan komen adalah kerana saya sangat meminati sukan ini.

"Saya berasakan bahawa saya mempunyai tanggungjawab untuk cuba meningkatkan badminton dan industri sukan untuk manfaat semua. Sebab itu, saya katakan semua peringkat pengurusan perlu dalam keadaan baik," katanya menerusi video terbaharu pada Isnin.

Bagaimanapun, Guang Yik mengakui dia tidak sepatutnya menyentuh mengenai perkauman dan agama dan isu berkenaan.

Pada Ahad, tular satu video bekas atlet badminton tanah air mengatakan punca pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kurang baik adalah disebabkan badan induk tersebut diuruskan oleh orang Melayu.

Dalam video itu, Guang Yik menyalahkan waktu solat orang Islam punca orang-orang Melayu tidak dapat menguruskan BAM dengan sempurna kerana kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan.

Malah, atlet itu juga mencadangkan agar kaum Cina yang menguruskan BAM kerana dia berpendapat kaum tersebut tidak akan membuang masa berbanding masyarakat Melayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram