'Orang rasis tidak patut diambil bekerja', BAM akan hantar aduan rasmi ke China


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

BAM akan turut meminta kerjasama daripada kerajaan China untuk mengambil tindakan terhadap Guang Yik.

KENYATAAN bekas atlet badminton kebangsaan, Bon Guang Yik yang berbaur perkauman mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat majmuk negara.

Berdasarakan sebuah video yang tular baru-baru ini, pemain berkenaan mengatakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mundur kerana rata-rata pihak pengurusan dibarisi kaum Melayu.

Hal itu dilihat menerima respons daripada pelbagai pihak, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengecam kenyataan berkenaan.

Sementara itu, BAM dalam catatan di akaun Facebook turut mengecam komen bersifat perkauman yang dibuat oleh bekas pemain itu, yang sedang memberi latihan di China ketika ini.

BAM memaklumkan, mereka benar-benar terkejut dan akan menangani isu itu termasuk menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Badminton China (CBA) dan menggesa mereka mengambil tindakan yang perlu terhadap individu tersebut.

"Komen yang bersifat memecahbelahkan seperti itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat terutamanya di negara kita dan tidak boleh dibiarkan. Orang yang rasis seperti itu tidak sepatutnya diambil bekerja sebagai jurulatih dalam sukan yang digemari oleh berjuta-juta orang dari semua kaum dan agama.

"BAM dan semua ahli gabungan kami tidak akan menerima orang seperti itu untuk terlibat dalam badminton di Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram