'Another level', tanker Seladang hargai Ultras Perak FC


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Sebahagian penyokong Perak FC ketika perlawanan menentang KL City FC di Stadium Cheras Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. — Facebook

SELEPAS tiga hari berehat daripada perlawanan persahabatan menentang KL City FC pada Sabtu lalu di Stadium Cheras Kuala Lumpur, Perak FC akan menguji kekuatan pasukan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Perlawanan di Stadium Paroi pada Rabu itu bakal menjadi medan buat anak-anak buah Lim Teong Kim mengotakan ikrar untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

Aksi berdepan NSFC juga dianggap seimbang buat Perak FC kerana skuad The Jangs tidak menurunkan sebarang pemain import dalam perlawanan pemanas badan kebelakangan ini.

1928761

Raja Imran Shah antara yang menyerlah pada aksi menentang KL City FC baru-baru ini. — Facebook

Ia mungkin kerana NSFC sudah mengesahkan hanya akan menggunakan khidmat tiga pemain import termasuk Mark Herald Goulon dan Ezechiel Ndouase untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Sekadar untuk rekod, pemain import ketiga pula masih dalam perbincangan untuk menyertai pasukan.

Seperti aksi menentang KL City FC, skuad Perak FC akan bermain di depan penyokong lawan dan ia pasti memberi pengaruh psikologi kepada para pemain.

Ia lebih-lebih lagi buat skuad The Bos Gaurus yang dibarisi pemain-pemain muda yang kebanyakannya baru mendapat pendedahan beraksi di divisyen tertinggi liga tempatan.

WhatsApp Image 2023-02-08 at 14.50.59

Begitupun, kehadiran penyokong Sang Seladang termasuk Ultras Perak ke stadium memberi suntikan semangat buat para pemain untuk memberikan persembahan terbaik.

Laungan bergemuruh di dalam stadium juga tentunya akan mengurangkan rasa gemuruh apabila berada di atas padang dan ketika berdepan lawan lebih kuat.

Anak-anak buah Teong Kim pastinya berterima kasih kepada mereka di atas sokongan padu yang diberikan secara berterusan.

Di Instagram, pemain pertahanan Perak FC, Raja Imran Shah antara salah seorang pemain yang menyatakan rasa teruja di atas sokongan berkenaan.

"Baru pramusim tetapi penyokong Perak dan ultras Perak dah on another level. Terima kasih atas sokongan anda. Kami akan berusaha lebih gigih," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram