Bukan Ronaldo jadi punca Al Nassr gagal rekod kemenangan


  • Podium
  • Ahad, 05 Feb 2023

Ronaldo mencatatkan gol pertamanya bersama Al Nassr. — Agensi

PENYOKONG kelab berpangkalan di Arab Saudi, Al Nassr memberi tekanan kepada pengendali pasukan, Rudi Garcia selepas kegagalannya untuk merekodkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut.

Untuk rekod, jurulatih Perancis itu dilantik sebagai ketua jurulatih Al Nassr pada Jun tahun lalu dan dia baru mengharungi musim pertamanya bersama kelab Arab Saudi itu.

Meskipun Garcia kini berjaya membawa Al-Nassr ke puncak Liga Pro, tetapi penyokong difahamkan masih tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan tersebut dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Perkara itu bermula apabila kehadiran bintang dunia, Cristiano Ronaldo ke pasukan itu masih tidak memenuhi jangkaan penyokong iaitu untuk mendominasi Liga Pro.

Penyokong mengharapkan kemasukan Ronaldo akan membawa kelab tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, jangkaan tersebut meleset apabila Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya di bawah bimbingan Garcia dan disebabkan perkara itu pengendali berkenaan melemparkan beberapa kritikan kepada bintang Portugal itu.

Al-Nassr tewas 1-3 kepada Al Ittihad pada Piala Super Arab Saudi minggu lalu.

Pasukan itu sekali lagi bergelut ketika menentang Al-Fateh pada Jumaat apabila hanya mencatat keputusan seri 2-2 dan salah satu jaringan Al-Nassr adalah sepakan penalti daripada Ronaldo pada lewat permainan.

"Gembira dapat menjaringkan gol pertama saya dalam liga Saudi dan usaha hebat oleh seluruh pasukan untuk mencapai keputusan seri penting. dalam perlawanan yang sangat sukar!," tulis Ronaldo dalam hantarannya di laman Instagram.

Garcia turut berkata, bahawa dia tumpang gembira dengan jaringan pertama Ronaldo namun peminat di media sosial lebih tertumpu kepada prestasi jurulatih itu sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram