Tuah nama Balotelli, import baharu Sang Kenari dedah pernah tak dibayar gaji, kerja di tapak pembinaan


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Pemain berusia 33 tahun ini diikat selama setahun untuk bersama Sang Kenari. — Facebook / KDA FC

KHABAR angin perpindahan pemain ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali bertiup kencang sejak kebelakangan ini.

Begitupun skuad Sang Kenari tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan seorang lagi import dari Brazil selepas pemain itu tiba di bumi Jelapang Padi.

Pemain tersebut ialah Jonathan Boareto dos Reis yang disambar dari kelab Jeonnam Dragons yang beraksi di divisyen kedua Liga Korea Selatan (Liga K2).

Penyerang samba itu mendapat gelaran nama Jonathan Balotelli pada 2013 ketika menjalani pramusim di kelab Pesqueira PE.

325846487_572575618058612_4559671652017572790_n

Jonathan diperkenalkan sebagai pemain KDA FC pada Jumaat.

Memetik temuramah dengan Terra Sport pada 2013, Jonathan berkata, ketika itu dia mewarnakan rambut perang dan membuat stail mohawk kerana mahu meniru gaya bintang Brazil, Neymar Jr dan pemain prolifik Itali, Mario Balotelli.

Katanya, seorang rakan sepasukan, Deivid menjerit nama Balotelli ketika dia memasuki bilik persalinan dengan gaya rambut tersebut.

"Rakan saya bergurau bahawa nama Balotelli tidak membawa tuah kepada saya kerana gagal menjaringkan gol untuk Pesqueira.

"Hanya selepas itu saya membuktikan kata-katanya adalah salah kerana berjaya mencetak 13 gol dan dinobatkan sebagai salah seorang penjaring terbanyak," katanya.

jo1

Jonathan meniru gaya Mario meraikan gol ketika skuad Itali menang 2-1 ke atas Mexico pada Piala Konfederasi 2013. — Agensi

Persembahan Jonathan di pasukan tersebut menarik minat kelab Sport Recife namun Pesquiera hanya mahu melepaskannya dengan yuran perpindahan R$500,000 (RM418,023.73).

Ketika rundingan itu hampir ditutup, Sport Recife berjaya mendapatkan Balotelli dengan harga R$250,000 (RM209,007.74).

Di kelab tersebut, Jonathan tidak berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol dan hanya membuat dua penampilan, namun dia tidak patah semangat.

Dilahirkan di Rio de Janeiro, Jonathan bukanlah orang senang, malah dia pernah melepaskan kerjaya sebagai pemain bola sepak amatur untuk bekerja di tapak pembinaan ketika berusia 18 hingga 21 tahun.

jo2

Kerjaya bola sepak Jonathan meningkat naik selepas beraksi dengan Sport Recife pada musim 2013/2014. — Agensi

Hanya pada usia 22 tahun, dia kembali ke kancah bola sepak untuk bermain secara profesional dengan Associação Atlética Carapebus, sebuah kelab di pedalaman Rio de Janeiro.

Di situ, Jonathan pernah tidak dibayar gaji selama setahun setengah sehinggalah dia menerima tawaran dari Vitória de Santo Antão.

Bermula dari situ, pemain yang mempunyai tujuh beradik itu lebih menonjol sebelum berpindah ke kelab Pesqueira dan seterusnya melebarkan sayap ke Liga Iran, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Pada sesi temuramah itu, Jonathan beraksi di depan kamera dengan meniru gaya Mario Balotelli meraikan gol ketika skuad Itali menang 2-1 ke atas Mexico, di Stadium Maracanã, untuk Piala Konfederasi 2013.

Memiliki sosok tubuh dan ketinggian hampir sama dengan Mario, Jonathan berkata, dia memiliki ciri-ciri di atas padang yang serupa dari segi pecutan, kekuatan dan tandukan.

FJtONdnWYAEghBK

Jonathan pernah meniru gaya rambut mohawk Mario Balotelli. — Agensi

Jonathan menjadi pelengkap pemain di bahagian serangan selepas KDA FC berjaya menyambar khidmat Willian Lira dan Ebenezer Assifuah.

Pemain berusia 33 tahun itu diikat selama setahun untuk bersama Sang Kenari bagi memberikan saingan sengit kepada kelab lain di Liga Malaysia musim ini.

Rekodnya Liga K2 menarik perhatian pengendali skuad Hijau Kuning, Nafuzi Zain untuk menambah sengat di jentera serangan KDA FC.

Berdasarkan penampilannya di Jeonnam Dragons musim lalu, Balotelli mencetak tujuh gol dan empat bantuan gol menerusi 28 penampilan.

Menurut transfermarkt.com, pemain itu dinilai pada tanda harga 350,000 Euro (RM1.61 juta) ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram