'Saya tetap Harimau Malaya', Haqimi Azim sedia sahut panggilan Piala Asia 2023


  • Podium
  • Rabu, 18 Jan 2023

Persembahan Haqimi Azim kian menyinar selepas beraksi di Piala AFF baru-baru ini. — Facebook / FAM

SELEPAS mencipta debut di Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF 2022, nama penyerang muda, Haqimi Azim Rosli menjadi buah mulut dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Sumbangan satu gol ketika dimasukkan pada babak kedua aksi Malaysia menentang Laos ketika saingan kumpulan B, cukup memadai untuk membuatkan namanya diingati.

Memberi kredit kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon, Haqimi menyifatkan hari-harinya di kem Harimau Malaya banyak membantu meningkatkan tahap permainannya di atas padang.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan jurulatih dari Korea Selatan itu mencipta aras baharu buat skuad kebangsaan secara keseluruhan selepas mencatatkan 11 kemenangan daripada 15 perlawanan termasuk aksi persahabatan.

Dengan berakhirnya Piala AFF 2022 baru-baru ini, tumpuan skuad kebangsaan kini terarah kepada persiapan untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023.

Menurut Haqimi, dia secara peribadi berasa lebih yakin selepas mendapat sentuhan jurulatih dari Korea Selatan itu yang banyak mengajar dari segi kemasan di bahagian serangan.

"Coach Kim banyak ajar saya teknik-teknik finishing ketika membuat serangan ke gawang. Senior pun ketika training banyak beri tunjuk ajar. Jadi memang saya dapat improve banyak dari segi permainan," katanya kepada Majoriti.

photo6210593491533280148

Haqimi (depan, dua kiri) mahu terus menjulang nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa. — Facebook

Ujar Haqimi, jika berpeluang mendapat panggilan kebangsaan untuk Piala Asia 2023 yang juga kejohanan tertinggi di Asia, dia mahu memanfaatkan peluang tersebut sehabis baik.

"Saya dulu tengok pemain bola di kaca televisyen sahaja. Tapi apabila berpeluang beraksi di depan ribuan penyokong ketika Piala AFF baru-baru ini, perasaan itu cukup mengujakan dan mendebarkan.

"Saya sentiasa bersedia walau dari segi apa cara sekalipun, saya memang bersedia. Kalau dapat diturunkan atau tidak, saya tetap Harimau Malaya," katanya.

318973428_3130554643911617_2832317513866404019_n

Selain Lee Tuck, Darren Lok, Safawi dan Faisal antara senior yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Haqimi. — Facebook

Ditanya mengenai keserasian di atas padang, pemain berusia 20 tahun itu berkata, dia cukup 'ngam' dengan Safawi Rasid dan Faisal Halim yang dianggap seperti abang di skuad Harimau Malaya.

"Dengan pemain lain pun saya okey juga. Macam pemain yang lebih senior seperti Darren Lok dan Lee Tuck, mereka banyak beri tunjuk ajar ketika training.

"Mereka ajar finishing goal dan body movement, banyak yang mereka ajar tapi saya pun kena belajar lagi untuk terus memperbaiki tahap permainan," ujarnya.

Sementara itu, berhubung statusnya di Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Haqimi memberitahu dia kekal di kelab The City Boys itu untuk musim ini.

"Saya bersyukur dapat sambung di KL City dan buat masa ini, saya tidak fikir nak ke kelab mana-mana lagi walaupun ada rumours kata saya patut ke kelab lain.

"Kalau boleh, saya nak fokus karier saya di KL City dahulu sebab saya pun masih muda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram