'Kami dah merancang lama, tinggal nak finalised', Kedah akan jawab teka-teki penyokong


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Pihak pengurusan Kedah akan berkongsi mengenai perancangan Sang Kenari pada musim 2023. — Facebook/KDAFC

SELEPAS satu kempen yang kurang cemerlang, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC berharap bahawa pasukan Sang Kenari itu akan kembali memberi saingan sengit kepada pasukan lain pada musim depan.

Musim 2022 ini menyaksikan skuad Hijau Kuning hanya sekadar mengisi kedudukan kelapan dengan hanya memungut sebanyak 27 mata dalam saingan Liga Super.

Bukan itu sahaja, impian mereka untuk beraksi lebih tinggi pada saingan kejohanan Piala AFC terpaksa dilupakan selepas tewas 1-2 di tangan PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Tidak cukup dengan itu, pasukan Sang Kenari juga diaibkan pada kempen Piala Malaysia apabila mereka disingkir seawal peringkat pertama di tangan Negeri Sembilan FC.

WhatsApp Image 2022-11-26 at 4.00.05 PM

Kedah gagal mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas tumpas di tangan skuad Jang Hobin. — Facebook/KDAFC

Sebelum pusingan Piala Malaysia bermula, penyokong Hijau Kuning juga dikejutkan dengan keputusan pihak pengurusan untuk menggugurkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Kekosongan yang ditinggalkan Aidil Shahrin itu membuatkan pelbagai nama dipetik bakal menerajui Kedah dan antaranya ialah bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.

Sehingga kini, pihak pengurusan Kedah masih belum dapat mengesahkan mengenai siapa individu yang bakal membimbing skuad Sang Kenari pada musim depan.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali berkata, bahawa teka-teki yang bermain dalam fikiran penyokong Kedah itu akan terjawab dalam masa terdekat.

Malah Khamal Idris juga berkata, pihak pengurusan juga akan berkongsi mengenai perancangan Sang Kenari pada musim 2023 termasuklah berkaitan pemain import.

“Dalam seminggu dua lagi baru Kedah akan beritahu semua perancangan.

“Sekarang ini kami dalam proses. Liga baru habis, jadi semua baru nak proses. Kami dah merancang lama, cuma tinggal nak finalised.

“Nanti juga akan diberitahu mengenai jurulatih dan termasuklah pasal pemain import,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-11-26 at 4.00.05 PM-2

Meskipun meledak 15 gol pada musim ini bersama Kedah, namun Ronald Ngah turut tersenarai dalam senarai pemain import yang tidak disambung kontrak. — Facebook/KDAFC

Terdahulu, Kedah menegaskan bahawa pihak pengurusan tidak akan menyambung kontrak pemain import yang sedia ada.

Lima import Kedah ketika ini adalah Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr.

Kontrak semua pemain terbabit dijadual berakhir musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram