Posa Majais cari pengganti jawatan no.1 FAS, SUFC


  • Podium
  • Selasa, 01 Nov 2022

PASUKAN SUFC berkemungkinan akan bermain di liga divisyen kedua ekoran isu perlesenan kelab. — Facebook

INDIVIDU yang berminat dan berhasrat menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Pengerusi Sarawak United FC (SUFC) dialu-alukan untuk datang ke pejabat dan berjumpa pihak pengurusan tertinggi bagi mengadakan perbincangan lanjut.

Presiden FAS, Datuk Posa Majais berkata, bakal pemegang jawatan yang berminat harus bersedia memikul tanggungjawab besar terhadap FAS dan SUFC.

Beliau yang juga penyandang SUFC berkata, untuk makluman dan pengetahuan, FAS dan SUFC memerlukan perbelanjaan besar dalam setahun untuk lima pasukan utama iaitu skuad senior Liga Super, pasukan bawah 23 tahun (B-23), pasukan B-20 dan pasukan B-18, selain futsal lelaki dan wanita.

"Urus tadbir semua pasukan SUFC memerlukan dana kewangan yang besar bagi memastikan kesemua pasukan boleh beraksi dalam penganjuran Liga Malaysia.

"Jadi saya ingatkan bahawa bakal pemegang jawatan yang berminat harus bersedia memikul tanggungjawab besar terhadap FAS dan SUFC," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Berkenaan dengan perlesenan kelab, Posa berkata, beliau selaku presiden akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kesemua urusan tadbir berjalan lancar.

"Sekiranya keputusan sama ada lulus atau tidak perlesenan kelab untuk tahun 2023, bagi pihak SUFC dengan rendah diri akur dengan keputusan jawatankuasa rayuan sekiranya terpaksa bermain di liga divisyen kedua," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua peminat yang sangat mengambil berat tentang keberadaan situasi FAS dan SUFC selama ini.

"Turun naik sesebuah pasukan tidak mustahil menjadi pemangkit semangat kami untuk kembali ke kancah Liga Super 2024," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram