
KETUA Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan-gon percaya pemilihan perlawanan persahabatan dengan Kemboja dan Maldives akan memberi manfaat kepada persiapan Harimau Malaya menjelang kempen Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 bermula 20 Disember ini.
Dia berkata, selepas berbincang dengan beberapa pasukan lain dan menilai secara dalaman daripada pelbagai aspek, keputusan dibuat untuk menerima jemputan pasukan kebangsaan Kemboja dan Maldives bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
"Kemboja adalah antara pasukan terlibat dalam Kumpulan A iaitu pemilihan pasukan sebagai pesaing dalam perlawanan persahabatan itu adalah sesuai dalam usaha kami untuk mengenal pasti penambahbaikan untuk skuad selepas berkumpul semula untuk kem kebangsaan berpusat.
"Bagi perlawanan menentang Maldives, walaupun pasukan itu bukan dari Asia Tenggara, mereka adalah juara dua kali Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) iaitu menang pada 2008 dan 2009, selain mempunyai corak permainan yang sama seperti pasukan Asia Tenggara yang lain,” katanya menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Skuad Harimau Malaya akan bertemu Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Maldives pada 14 Disember di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai perlawanan pemanas badan menjelang kempen AFF 2022.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam diikuti Singapura, Myanmar dan Laos dalam saingan yang berlangsung sehingga 16 Jan tahun depan.
Bagi saingan kali ini, pasukan kebangsaan akan menjadi hos kepada perlawanan melibatkan Laos pada 24 Disember dan Singapura pada 3 Januari 2023.
Harimau Malaya juga berpeluang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sekiranya mereka layak ke separuh akhir, yang dijalankan secara timbal balik pada 6 atau 7 Jan 2023 serta 9 atau 10 Januari 2023.
Malaysia hanya sekali memenangi saingan Piala AFF pada edisi 2010, sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada 1996 dan muncul naib juara pada 1996, 2014 dan 2018.
Thailand muncul pasukan paling berjaya dengan enam kejuaraan (1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020) diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam (2008 dan 2018). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram