[VIDEO] Juara dunia jujitsu, Thayna Higor maut akibat tembakan di kepala


  • Benua
  • Isnin, 17 Okt 2022

Thayna maut selepas seorang lelaki yang tidak dikenali secara tiba-tiba menembaknya di belakang kepala. — Agensi

JUARA dunia tiga kali dalam sukan jujitsu, Thayna Higor maut selepas dia ditembak di kepala di hadapan sebuah restoran di Praia Grande, pantai Sao Paulo, Brazil pada Rabu lalu.

Thayna, 25 tahun meninggal dunia setelah seorang lelaki yang tidak dikenali secara tiba-tiba menembaknya di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah, Alex Mendonca do Nascimento berkata, suspek kelihatan keliru semasa ditahan dan motif sebenar dia melepaskan tembakan itu juga belum diketahui.

"Mangsa pada waktu kejadian sedang menunggu kenderaannya di kawasan kejiranan Boqueirao apabila lelaki itu menghampirinya dan melepaskan tembakan. Thayna meninggal dunia di tempat kejadian.

"Selepas menembak Thayna, dia memasuki restoran Jepun berdekatan dan menembak seorang lagi warga emas di dalam premis tersebut.

"Suspek kemudiannya cuba beredar dari kawasan itu dengan cuba mencuri sebuah motosikal. Namun dihalang dan diserang oleh orang ramai di jalan walaupun dia melepaskan tembakan ke udara," kata Nascimento.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Negara, suspek mempunyai rekod jenayah dan polis sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek atas kesalahan pemerasan melalui penculikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram