Tiada aksi peringkat kumpulan, KL City penentu tarikh mula Piala Malaysia — MFL


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Pada edisi ke-100 Piala Malaysia, KL City FC menjadi juara selepas menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Facebook/KL City

KEJOHANAN berprestij Piala Malaysia bakal menggunakan format baharu yang mana menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan apabila semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 secara timbal balik.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu dicapai selepas mengambil kira beberapa faktor seperti kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia.

Selain kepadatan jadual, ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun juga menjadi alasan kukuh terhadap format baharu kerana ia tidak akan memberi MFL sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.

Oleh itu, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan tertua di Asia itu serta mengelak kecederaan pemain.

“Pada 29 September 2022, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia di mana memaklumkan akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.

Tambahan pula, kerajaan Malaysia mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 didalam beberapa pasukan dan juga kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan.

Sementara itu MFL memaklumkan, jika Kuala Lumpur City layak ke final Piala AFC, Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 tahun ini bakal membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober.

Namun jika tidak layak ke final, Piala Malaysia bakal bermula pada 21 dan 22 Oktober 2022.

Selepas aksi timbal balik bagi saingan peringkat 16 pasukan, suku akhir serta separuh akhir, aksi final pula bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram