Pemain Malaysia pertama beraksi Liga Inggeris idam sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

Richard menjadi pemain pertama berketurunan Malaysia beraksi dalam Liga Inggeris. — Facebook/Charlton Athletic

PEMAIN warisan, Richard Chin yang membuat debut dalam Liga Inggeris, League One EFL minggu lalu, berharap dapat bermain untuk Malaysia suatu hari nanti.

Agensinya, Rock Sports Management memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tentang hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan.

“Pasukan saya sedang berusaha untuk mencari pelbagai pilihan bagaimana saya boleh bermain untuk Malaysia.

"Ia akan menjadi penghormatan besar untuk keluarga saya dan saya, terutamanya di sebelah ayah saya,” katanya.

Ayah Richard adalah warga Malaysia dan ibunya berasal dari Seychelles.

Beraksi bersama Charlton Athletic, Richard diberikan peluang bermain selama 72 minit dalam keputusan seri 1-1 kelab itu dengan East Green di Stadium Valley di London pada 13 September.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain pertama berketurunan Malaysia beraksi dalam Liga Inggeris.

Richard sudah bersama Charlton sejak dia berusia enam tahun dan membuat penampilan sulung pasukan pertamanya pada 2021 apabila dia bermain menentang Leyton Orient dalam Trofi EFL.

“Membuat penampilan sulung dalam liga adalah impian saya sebagai pemain muda. Semoga dalam beberapa minggu akan datang, saya boleh mendapat lebih banyak peluang untuk bermain,” katanya.

Richard menyedari bahawa dia perlu lebih berusaha jika ingin diberikan banyak masa permainan bersama kelab itu.

“Pada masa ini, perkara paling penting ialah kekalkan prestasi sekarang.

“Saya cuba tetapkan sasaran yang jelas dan semak semula prestasi supaya dapat meningkatkan prestasi,” ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram