Prestasi suam-suam kuku, 3 pemain Selangor didesak 'out' musim depan


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

Selangor gagal menyaingi gergasi Liga Super, skuad Johor Darul Takzim pada musim ini. — Facebook

KEKALAHAN berturut-turut yang dihadapi Selangor FC dalam empat perlawanan terakhir cukup memeritkan dan menyedihkan hati penyokong skuad Merah Kuning.

Meskipun Michael Feichtenbeiner bukan lagi jurulatih Gergasi Merah, pasukan itu masih belum dapat mendapat tonik untuk keluar daripada kemerosotan prestasi musim ini.

Malah kejayaan mengikat Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pada Sabtu, tidak cukup buat pengendali sementara, Nidzam Jamil yang terpalit dengan kekalahan Selangor dalam dua tugasan sebelum ini.

Selain menyalahkan pengurusan, ada juga penyokong yang menyarankan beberapa nama untuk digugurkan atau dipinjamkan ke skuad lain pada musim depan.

Berikut adalah senarai pemain Selangor yang disebut-sebut patut disingkirkan atau dipinjam sebagai persediaan musim hadapan.

Bola3-500x343

Faktor usia menyebabkan ada penyokong berasakan Baha patut digugurkan daripada Selangor FC. — Facebook

1) Baha Abdel Rahman

Pemain dari Jordan yang menyertai Selangor pada jendela perpindahan pertama musim 2021 ini bukan sahaja dikatakan sudah berusia malah prestasinya juga kurang memberangsangkan.

Bermain di posisi tengah bertahan, import berusia 35 tahun itu hanya tujuh kali diturunkan dalam kesebelasan utama, dalam 16 perlawanan Liga Super setakat ini. Dengan prestasi suam-suam kuku itu, penyokong mendesak agar khidmatnya dihentikan pada musim hadapan.

1465608

Jumlah jaringan Hyuri tidak sepadan dengan tanda harganya sebagai antara pemain termahal Liga M. — Facebook

2) Hyuri Henrique

Sejak menyertai Selangor pada musim ini, Hyuri mendapat kritikan daripada penyokong kerana gagal menjadi pencetak gol yang baik jika dibandingkan dengan nilainya yang mencecah RM2.46 juta.

Dalam 16 perlawanan Liga Super yang berlangsung, Hyuri baru mencetak tiga gol bagi saingan Liga Super, manakala pada saingan Piala FA, dia menyumbang dua jaringan sahaja.

Jumlah jaringan yang disumbangkan oleh pemain kelahiran Brazil itu tidak sepadan dengan tanda harganya sebagai antara pemain termahal Liga M sekali gus menyaksikan penyokong mendesak agar khidmatnya dihentikan pada musim hadapan.

E9DgrxoUYAAY_0J

Shahrel Fikri boleh dipinjamkan ke skuad The Bos Gaurus pada musim depan. — Facebook

3) Shahrel Fikri

Pemain muda berusia 27 tahun ini tidak bernasib baik kerana kurang mendapat kepercayaan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Melihat kepada minit permainan, dia kurang menjadi pilihan berbanding Herlison Caion yang nampaknya menjadi 'orang harapan' coach di posisi serangan. Ini dibuktikan dengan 12 gol yang dijaringkan Caion setakat ini manakala Shahrel Fikri hanya satu gol.

Bekas pemain Perak FC itu dirasakan boleh dipinjamkan ke skuad The Bos Gaurus pada musim depan bagi membantunya mendapatkan minit permainan sekali gus memperbaiki karier bola sepaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram