Selalu hilang fokus, kapten MU harap segalanya berubah berdepan TFC


  • Podium
  • Sabtu, 03 Sep 2022

TFC bakal melayan kunjungan Melaka United di SSMZA malam ini. — Facebook/Melaka United

PEMAIN tengah Melaka United (MUFC), Hasbullah Abu Bakar berharap dia dan rakan sepasukan tidak lagi melakukan kesilapan mudah terutamanya sewaktu minit akhir menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Jelasnya, Melaka kehilangan banyak mata dalam tiga perlawanan terdahulu dan mereka perlu segera bangkit untuk kembali memperbaiki kedudukan liga yang kini di tangga kelapan.

Bagi Hasbullah, kelemahan ketara yang dilihat ketika ini adalah pasukan sering kali hilang fokus meskipun telah mendahului pada awal permainan sehingga memberi ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

Dia sedar Terengganu sekarang dalam momentum yang baik dan mereka pastinya memburu kemenangan sebagai motivasi tambahan apatah lagi menjelang aksi final Piala FA mereka pada 10 September ini.

WhatsApp Image 2022-09-03 at 3.55.26 PM

Hasbullah kini diberi kepercayaan selaku kapten pasukan selepas Sony Norde masih lagi dalam fasa pemulihan. — Facebook Melaka United

“Kelemahan yang saya tengok dalam pasukan ini adalah kami mudah hilang fokus pada minit-minit akhir dan kami kehilangan banyak mata dalam empat perlawanan.

“Bila kami dah mendahului, minit akhir mesti lawan dapat jaringkan gol balik, jadi untuk kedudukan liga harap boleh diperbaiki untuk layak ke Piala Malaysia.

“Untuk aksi malam ini, Insya-ALLAH kami akan cuba memberi tentangan sengit walaupun sebenarnya ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan,” jelasnya kepada MFL.

Hasbullah yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) kini diberi kepercayaan selaku kapten pasukan selepas Sony Norde masih lagi dalam fasa pemulihan.

Nyata, dia enggan mensia-siakan peluang ini dan akan cuba untuk terus membantu pasukan sebaik mungkin.

“Sebelum ini bersaing sengit juga untuk beraksi dan sekarang semakin diberi peluang untuk bermain, jadi saya akan berusaha 100 peratus.

“Untuk diri sendiri, sudah tentu semangat saya semakin tinggi dan tidak akan sia-siakan peluang yang diberi oleh jurulatih”, katanya.

Selain aksi antara Terengganu dan Melaka, satu lagi perlawanan akan turut berlangsung pada malam ini membabitkan Selangor FC menentang JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram