PASUKAN yang hampir disingkirkan dari Liga Perdana akibat kemelut kewangan yang dihadapi berjaya diselamatkan dengan bantuan syarikat XOX Berhad apabila ia membeli skuad The Bos Gaurus pada 29 April lalu.
Ketika itu, pemilik The Bos Gaurus bukan sahaja membayar semula tunggakan gaji pemain dan barisan jurulatih serta pengurusan kelab Perak FC, malah syarikat berkenaan juga membeli beberapa bintang import baharu.
Salah seorang bintang import itu ialah Stipe Plazibat yang masih belum menunjukkan sebarang aksi positif buat Perak sedangkan penyerang itu mempunyai rekod cemerlang bersama kelab terdahulu.
Penyerang berumur 32 tahun itu dikenali dengan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak di Asia Tenggara ekoran sebelum ini dia menabur bakti selama empat musim di Singapura dan setahun bersama Bangkok Glass (Thailand).
Pemain kelahiran Croatia itu berjaya membantu pasukan Lion City Sailors dengan menjaringkan 59 gol dalam 63 penampilan pada musim terakhirnya (2020/2021) sebelum berhijrah ke Perak musim ini.
Plazibat belum menunjukkan aksi positif bersama Perak sedangkan dia mempunyai rekod cemerlang dengan kelab terdahulu.
Malangnya bersama Perak, Plazibat gagal meneruskan rentak kecemerlangannya sebagai seorang penyerang apabila belum lagi menghadiahkan gol buat skuad kendalian Yusri Che Lah.
Dalam ruangan komen Facebook, rata-rata penyokong Perak masih lagi menaruh harapan dengan memberikan sokongan moral supaya Plazibat bangkit sekali gus boleh memberikan sumbangan buat pasukan mereka.
"Tolong hulur bola cantik, kalau tak gol baru kita boleh pertikai kemampuan dia, ini bola pun tak sampai memang tak boleh nak kata apa lagi," kata Zikry Irfan.
"Cuba bagi dia main dalam kesebelasan utama, baru boleh nampak dia punya kualiti permainan," luah Eim Onepiece.
"Dia bekas penjaring terbanyak Liga Singapura, takkan nak hulurkan bola sampai ke lutut?," soal Rosly Saidin.
"Plazibat, awak pasti boleh lakukannya jangan mengalah," ujar Wong Jiinloong.
Penjaring gol terbanyak Liga Singapura musim 2020-2021 ini adalah bekas pemain Hougang United sebelum menyertai Lion City Sailor. — Agensi
Sebelum ini, Plazibat pernah dicaci peminat bola sepak Singapura selepas dia menjaringkan gol untuk bekas pasukannya.
Cacian itu berlaku kerana penyerang berketinggian 1.85 meter itu menjaringkan gol untuk bekas majikannya, Hougang United.
Plazibat yang juga penjaring gol terbanyak Liga Singapura musim 2020-2021 adalah bekas pemain untuk Hougang United sebelum dia menyertai Lion City Sailor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram