Penjaga stor, pemandu ditahan simpan 15,000 liter diesel seludup di Sabah


  • 112
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Diesel seludup itu ditemui di dalam sebuah lori tangki dan tong dram. — Ihsan KPDNHEP

DUA lelaki ditahan kerana dipercayai menyimpan 15,000 liter diesel seludup di daerah Beluran, Sabah.

Kedua-dua suspek itu yang merupakan penjaga stor dan pemandu ditangkap dalam serbuan di sebuah kedai di Kg Iran, Beluran, pada pukul 2.33 petang, Sabtu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, diesel itu ditemui di dalam sebuah lori tangki dan tong dram.

"Kami percaya diesel ini bertujuan untuk dijual kepada industri di sekitar kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketika disoal siasat, kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen atau lesen yang membenarkan mereka menyimpan diesel di premis tersebut.

Georgie berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang jenayah serupa boleh memaklumkan kepada kementerian melalui WhatsApp - 019-279 4317 atau 019-848 8000, melalui portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan di 1-800-886-800 atau e-mel kepada [email protected].

Mereka juga boleh menghubungi pusat penguatkuasaan di talian 03-8882 6088/6245. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram