Komanwel: Malaysia menanti 2 lagi sasaran emas


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Pandelela akan bergandingan dengan Nur Dhabitah dalam acara final 10m platform seirama, pada Sabtu. — Facebook

BERBAKI tiga hari sebelum temasya Sukan Komanwel 2022 melabuhkan tirai pada Isnin depan (8 Ogos), kontinjen negara masih menanti dua kilauan emas bagi mencapai sasaran enam emas di temasya sukan berkenaan.

Harapan diletakkan kepada beberapa atlet bagi menyumbangkan dua pingat emas yang dinanti-nantikan kontinjen negara.

Selepas menampilkan aksi mengecewakan, prestasi cemerlang Pandelela ditagih bagi menceriakan kontinjen negara apabila atlet kelahiran Sarawak itu akan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara final 10 meter (m) platform seirama, pada Sabtu.

Nur Dhabitah juga akan turun bergandingan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara final 3m papan anjal seirama.

Kem negara turut mengharapkan prestasi terbaik daripada skuad gimnastik negara apabila mereka akan turun bersaing dalam empat acara final melibatkan Izzah Amzan dalam disiplin gelung dan belantan, Ng Joe Ee (bola dan riben) serta Koi Sie Yan (riben).

Prestasi cemerlang Choong Javen-Karen Lyne, yang merupakan wakil tunggal Malaysia masih meneruskan cabaran dalam acara ping pong, ditagih untuk melakar kejutan apabila berdepan pasangan dari Singapura, Clarence Chew Zhe Yu-Zeng Jian di peringkat separuh akhir acara beregu campuran, pada Sabtu.

Aksi membanggakan atlet boling padang, Fairul Izwan Abd Muin, juga dituntut apabila turun beraksi di peringkat separuh akhir acara singles lelaki.

Selepas tamat hari kelapan pada Jumaat, kontinjen negara meraih keseluruhan empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.

Austalia kekal sebagai pendahulu pungutan pingat dengan 50 emas, 44 perak dan 46 gangsa, diikuti rapat tuan rumah, England, 47-46-38 manakala Kanada di kedudukan ketiga dengan 19-24-24. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram