Kecoh, penyokong Terengganu berang tiket habis beberapa jam sebelum sepak mula


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Segelintir penyokong Terengganu ‘naik minyak’ selepas mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan pada Sabtu. — Agensi

AKSI separuh akhir Piala FA yang menemukan dua pasukan gergasi tanah air, Terengganu FC dan Selangor FC bakal menjadi tumpuan para peminat bola sepak tanah air.

Apatah lagi kedua-dua pasukan itu kini berada di kelompok pertengahan Liga Super dan dilihat agak sukar untuk mengejar pendahulu liga ketika ini, Johor Darul Takzim (JDT).

Piala FA merupakan satu-satunya jalan terbaik buat Terengganu dan Selangor untuk beraksi di kejohanan peringkat Asia musim hadapan.

Kehangatan bahang perlawanan malam ini jelas terasa apabila Terengganu mengumumkan kesemua tiket untuk menonton perlawanan ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sudah habis dijual.

Ini menandakan perlawanan pada Sabtu semua tempat duduk penonton akan diisi dengan barisan penyokong kedua-dua pasukan.

Namun begitu, ada berita yang kurang enak untuk didengari apabila ada segelintir penyokong Terengganu yang ‘naik minyak’ selepas mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan pada Sabtu.

Dalam video tersebut, dilihat terdapat beberapa penyokong yang memanjat pagar stadium dan meluahkan kemarahan mereka.

Difahamkan jumlah penyokong yang gagal mendapatkan tiket perlawanan malam ini bukanlah dalam kiraan yang sedikit.

Bagaimanapun, mereka akhirnya akur dengan situasi kehabisan tiket itu dan sehingga kini tiada insiden kekecohan luar biasa yang dilaporkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram