ATLET powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, meraih pingat emas yang keempat buat kontinjen Malaysia saingan Sukan Komanwel Birmingham, England, Khamis, lapor Stadium Astro.
Juara dunia dua kali, (2019, 2021) dan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, menyasarkan untuk menambah pingat emas Sukan Komanwel dalam koleksinya.
Memulakan angkatan 210 kilogram yang merupakan rekod kejohanan dan menyaksikan Bonnie terus menghuni kedudukan pertama sekaligus di landasan terbaik untuk meraih pingat emas.
Atlet berusia 23 tahun itu meningkatkan lagi beban di angkatan kedua dengan 216 kg dan tidak berdepan sebarang masalah untuk melengkapkan percubaan itu.
Ketika pencabar terdekat dari England, Mark Swan, sekadar berjaya melakukan angkatan 202kg, Bonnie memastikan pingat emas tanpa pencabar terdekat selepas melengkapkan angkatan 220kg.
Pingat perak milik wakil tuan rumah, Mark Swan sementara Innocent Nnamdi dari Nigeria meraih gangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram