PERTEMBUNGAN antara dua gergasi pasukan bola sepak tempatan iaitu Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC bakal menjadi tumpuan seluruh peminat tanah air dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada Sabtu yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Lebih 40,000 penyokong Terengganu bakal membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor apabila jualan tiket dalam talian dilaporkan sudah habis dijual.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ini dijangka berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan turut memburu tiket beraksi di Piala AFC musim depan jika berjaya muncul sebagai juara.
Pemain yang menjadi tumpuan penyokong tuan rumah pastinya terarah kepada pemain import pertahanan, Pape Diakite yang sebelum ini digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada minit ke-50 ketika pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Tangkap layar mesej Instagram.
Seorang penyokong bola sepak Terengganu bertindak menghantar mesej kepada Diakite melalui Instagram untuk menyatakan hasrat supaya pemain tersebut tidak melakukan kesilapan ketika menentang Selangor pada Sabtu.
"Tolong jangan main macam malam ini jika awak mahu TFC ke pertandingan akhir Piala FA, tolong clear the ball dan jangan beri semula kepada penjaga gol, comeback stronger brother dalam perlawanan separuh akhir.
"Kami seluruh penyokong TFC akan sentiasa menyokong anda dan pasukan supaya berjaya melangkah ke pentas akhir Piala FA," tulis penyokong tersebut.
Mesej tersebut di balas oleh Diakite seolah-olah berjanji melalui satu emoiji untuk tidak melakukan kesilapan pada pertemuan menentang Selangor nanti.
Manakala di ruangan komen Facebook pula, rata-rata penyokong TFC menasihati pemain import kelahiran Senegal itu untuk tidak melakukan kesilapan mudah sehingga mampu membahayakan rakan sepasukan sendiri.
"Kerja awak sebagai pemain pertahanan mudah sahaja, clear bola jauh-jauh dan jangan buat silap atas padang," ujar Zamri Zakaria.
"Peluang untuk pergi final dalam tangan dah, sebelah kaki sahaja dengan kelebihan bermain di tempat sendiri, tapi kalau silap sikit memang musnah harapan," luah Kamarudin Hamzah.
"Tolong kunci Caion dengan Brendan Gan itu, kalau terlepas habis pasukan Terengganu tengok waktu lawan Sabah sudah," jelas Ahmad Khairi.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA ini dijangka berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan turut memburu tiket beraksi di Piala AFC. — Bernama
Susulan kejayaan Terengganu dan Selangor melangkah ke separuh akhir Piala FA, perlawanan Liga Super melibatkan dua pasukan berkenaan pada 4 Ogos terpaksa dipinda.
Berdasarkan tarikh baharu yang ditetapkan, Terengganu bakal bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 21 Ogos manakala Selangor akan menjadi tuan rumah kepada PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada tarikh yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram