KEBANGKITAN Sabah FC pada musim ini sememangnya mengejutkan rata-rata penyokong bola sepak tempatan yang mana skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (OKS) berjaya memberi saingan kepada pasukan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT).
Musim ini penyokong Sabah antara faktor kebangkitan senario bola sepak Negeri Di Bawah Bayu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi pada setiap perlawanan membabitkan skuad Sang Badak.
Pihak pengurusan Sabah melakukan pilihan yang tepat pada musim lalu apabila melantik OKS sebagai ketua jurulatih yang baru bagi menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto.
Sejak dari pelantikan itu Kim Swee berjaya menarik minat beberapa pemain bintang seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Irfan Fazail, Dominic Tan, Gary Steven Robbat dan ramai lagi untuk menyertai projek transformasi pasukan Sabah.
Baru-baru ini terdapat laporan media mengatakan pihak pengurusan Sabah bakal merekrut beberapa pemain bintang baharu musim hadapan di antaranya ialah Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Pekan Ramli tidak terkejut jika Sabah merekrut Akhyar dan Safawi. — Agensi
Bagi pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli, beliau berpendapat pihak pengurusan melakukan sesuatu yang tepat untuk membawa OKS sebagai ketua jurulatih yang mana dia juga pernah bermain untuk pasukan itu.
"Suntikan Kim Swee sebagai ketua jurulatih Sabah pada musim ini ternyata adalah satu keputusan paling tepat dibuat oleh pengurusan tertinggi Sabah FC.
"Ia ibarat situasi 'sireh pulang ke gagang' kerana Kim Swee pernah bersama Sabah sebagai pemain pada 1994-1997, jadi sedikit sebanyak dia boleh memahami budaya bola sepak di Sabah ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, beliau agak terkejut dengan kebangkitan pasukan Sabah pada musim ini dan hanya beberapa mata sahaja di belakang skuad Harimau Selatan.
"Pasukan Liga Super, Sabah kini berada di kedudukan kedua di belakang juara liga 8 kali JDT selepas 14 perlawanan dan ini merupakan satu kedudukan di luar jangkaan berbanding kedudukan nyawa-nyawa ikan pada posisi ke sembilan musim lalu," ujarnya.
Apabila ditanya mengenai sebuah laporan media tempatan tentang kemasukan dua bintang JDT ke skuad Sang Badak, beliau menyatakan dia tidak berasa terkejut kerana itu lumrah pemain bola sepak untuk berhijrah ke pasukan lain.
"Saya tidak terkejut jika Safawi dan Akhyar berhijrah ke Sabah musim depan. Ini perkara biasa sebagai pemain profesional. Jika pasukan hebat sudah tidak memerlukan khidmat mereka, mereka perlu menyedari atau dapat merasakan petanda-petanda tersebut.
"Eloklah mula mengorak langkah untuk mencari pasukan lain yang hebat. Jadi kalau mereka diperlukan oleh Kim Swee ini satu pilihan semasa yang tepat.
"Saya yakin perpindahan kedua-dua pemain ini pasti akan berlaku seperti mana berlaku kepada pemain-pemain hebat negara kita yang bersama dengan JDT sebelum ini.
"Kita tahu JDT sebuah pasukan yang tidak akan teragak-agak menamatkan atau meminjamkan pemain jika prestasi pemain itu tidak mencapai tahap seperti yang diharapkan. Bagi mereka players come and go, but the right ones will only stay," jelasnya.
Safawi dan Akhyar merupakan pemain muda terbaik yang ada di negara ini. — Facebook/JDT
Menurutnya lagi, jika perpindahan itu berlaku ia akan menjadi aset terbesar buat pasukan Sabah dan memberi banyak pilihan buat pengendali berusia 51 tahun itu.
"Saya yakin jika dua pemain ini ke Sabah musim depan, ia memberi lebih banyak option kepada Kim Swee dan pasti memperkuatkan lagi pasukan Sabah nanti.
"Mereka ini sangat berpengalaman dan pasti aset Sabah akan bertambah dan JDT pasti tercabar nanti jika dua pemain kembali mendapat form terbaik mereka. Ingat, Safawi dan Akhyar bukan calang-calang pemain," katanya.
Selepas 14 perlawanan kini pasukan Sabah menduduki tangga kedua liga dibezakan hanya 4 mata dibelakang JDT, jika skuad Harimau Selatan tidak keciciran mata peluang anak buah OKS untuk merampas takhta liga agak cerah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram