Tersenarai 3 'top passer' terbaik, Natxo Insa calon utama ganti Syamer Kutty


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Natxo (kanan) dianggap sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik negara kerana bijak mengemudi jentera tengah JDT. — AP

KECEDERAAN lutut serius yang dialami pemain tengah bertahan, Syamer Kutty Abba sememangnya meresahkan majoriti peminat bola sepak tempatan.

Rata-ratanya mendoakan supaya tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu segera pulih sebelum sepak mula kempen Piala Asia pada Jun tahun depan.

Syamer dilaporkan masih menjalani rawatan pemulihan selepas melalui proses pembedahan di Barcelona, Sepanyol akibat kecederaan lutut yang dialaminya dan memerlukan rehat maksimum sekurang-kurangnya lapan bulan.

Laman Facebook Empayar Darul Takzim - EDT turut berkongsi perkhabaran mengatakan pemain warisan, Natxo Insa menjadi calon utama untuk mengisi posisi tengah bertahan (defensive midfield) Harimau Malaya ekoran ketiadaan Syamer.

Natxo dikatakan akan membuat penampilan dalam skuad kebangsaan bagi Kejohanan King's Cup di Thailand pada September depan.

"Jeneral padang, Natxo dikhabarkan menjadi calon utama untuk mengisi posisi tengah bertahan Harimau Malaya untuk Kejohanan King's Cup di Thailand pada September akan datang.

"Sebelum ini Syamer sering menjadi pilihan Kim Pan-gon dalam kesebelasan utama Harimau Malaya. Namun baru-baru ini, Syamer mengalami kecederaan dan sudahpun selesai menjalani pembedahan lutut serta akan berehat antara empat hingga lapan bulan," katanya.

King's Cup adalah kejohanan jemputan anjuran Thailand dan turut menawarkan mata ranking FIFA. Tiga pasukan Asia dan satu pasukan Amerika Latin sah akan menyertai kejohanan ini dengan Thailand, Malaysia dan Bolivia sudah pun mengesahkan penyertaan. Sebuah lagi pasukan akan diumumkan Thailand FA tidak lama lagi.

Sebagai pemain berpengalaman, Natxo yang juga pemain tengah JDT disenaraikan sebagai antara tiga top passer terbaik Liga Super 2022 setakat ini.

295441669_586919659473669_1919960754647480552_n

Natxo mencatatkan ketepatan hantaran 90 peratus selain mencipta sembilan peluang gol menerusi 777 minit permainan. — Data Sukan

Berdasarkan statistik Data Sukan, Natxo antara tiga pemain yang mengungguli carta dalam mengemudi jentera tengah pasukan dengan jumlah hantaran tertinggi sebanyak 608 di depan pemain Kedah, Dechi Marcel (563) dan seorang lagi pemain JDT, Leandro Velazquez (538).

Pemain berusia 36 tahun itu juga mencatatkan ketepatan hantaran 90 peratus selain mencipta sembilan peluang gol menerusi 777 minit permainan.

Sebelum ini, nama Natxo pernah berada di dalam senarai menunggu skuad Harimau Malaya.

Natxo merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol. Malah dia memperoleh kewarganegaraan melalui neneknya yang dilahirkan di Sabah.

Pentas sulung Natxo ketika mewakili Malaysia sebelum ini di di peringkat antarabangsa adalah pada 22 Mac 2018. Ketika itu, Harimau Malaya beraksi menentang Mongolia di bawah kendalian Tan Cheng Hoe. Aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Malaysia sekadar meraih keputusan seri 2-2.

Namun, terdapat persepsi negatif luar padang yang mendakwa Natxo tidak begitu berminat menyarung jersi Harimau Malaya dalam kalangan peminat tempatan, jadi Natxo perlu membuktikan betapa tanggapan itu silap jika dipanggil Pan-gon selepas ini.

Selain Kejohanan King's Cup, anak-anak didik Pan-gon juga akan menyertai Piala AFF Suzuki, Disember ini sebagai persiapan menghadapi Piala Asia, Jun tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram