Posting Mauricio cetus tanda tanya, JDT ada masalah dalaman ke?


  • Podium
  • Khamis, 28 Jul 2022

Mauricio merupakan pemain yang sentiasa beraksi di kejohanan tertinggi di Asia iaitu Liga Juara Juara Asia (ACL) bersama JDT. — Agensi

BEKAS pemain Johor Darul Takzim (JDT), Mauricio Dos Santos Nascimento mengejutkan orang ramai dengan satu posting Instastory seolah-olah memerli bekas jurulatih JDT, Benjamin Mora di Instagram.

Selepas menabur bakti selama empat musim bersama pasukan Harimau Selatan, Mauricio akhirnya meninggalkan kelab tersebut pada Jun lalu dan digantikan oleh pemain naturalisasi Jordi Amat.

Sepanjang bersama Harimau Selatan, pemain kelahiran Brazil itu berjaya bersama pasukan untuk merangkul gelaran juara Liga Super sebanyak tiga kali dan turut membantu JDT menjuarai Piala Malaysia pada musim 2019.

Pada Rabu, pihak pengurusan JDT dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan kelab tersebut menamatkan khidmat jurulatih dari Mexico itu dan menjelaskan bahawa Mora mohon untuk pulang ke negaranya atas urusan peribadi.

Selepas beberapa jam pengumuman tersebut Mauricio memuat naik satu posting emoji bendera Mexico beserta beberapa kapsyen dwi-bahasa dan apa yang menarik perhatian adalah penggunaan perkataan ALLAH.

"Tuhan tidak gagal, dah terlambat dan selamat tinggal," demikian tulis Mauricio di Instagram.

WhatsApp Image 2022-07-28 at 2.08.17 PM

Tangkap layar posting Mauricio di Instagram. Instagram

Hantaran Instagram tersebut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong JDT yang mana mereka mempersoalkan apakah ia mengambarkan berlakunya masalah dalaman di kem Harimau Selatan itu.

"Macam ada konflik dalaman ini, tapi pihak pengurusan tutup isu itu dengan posting positif di sosial media," kata Aiman Azhar.

"Confirm ada masalah, kalau tidak tak akan tiba-tiba sahaja, dia yang banyak jasa diberhentikan macam itu, mesti pihak pengurusan JDT raikan macam Luciano Figueroa," ujar Aiman Runner.

"Pemain-pemain JDT pun tak ada wish untuk Mora, masih menjadi tanda tanya, jangan jadi kes macam Diaz dan Morrais sudahlah, itu pun sebab masalah disiplin," jelas Syrlnzm Zam.

"Saya pernah dapat tahu serba sedikit, salah satu syarat dalam kontrak pemain JDT atau staf tak boleh cerita sebarang masalah dalaman kepada pihak luar," tulis Azmi Samuri.

mauricio2

Mauricio berjaya merangkul gelaran juara Liga Super sebanyak 3 kali dan turut membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada musim 2019. Facebook/JDT FC

Mauricio merupakan pemain yang sentiasa beraksi di kejohanan tertinggi di Asia iaitu Liga Juara Juara Asia (ACL) bersama JDT.

Walaupun pada musim ini hanya diturunkan selama 20 minit sahaja dalam kancah ACL, namun penampilan-penampilan dia pada edisi-edisi sebelum ini sudah tentu akan terus diingati peminat JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram